Mengalami kulit yang tidak sihat pasti akan merosakkan hari anda membuatkan diri tidak berkeyakinan. Skin barrier berfungsi untuk melindungi kulit jadi, amatlah penting untuk menjaganya agar tidak rosak. Kami kongsikan beberapa tip untuk mengetahui keadaan kulit anda dan cara membaiki skin barrier.
Perkara paling penting sebelum memasuki tahun baru semestinya mempelajari tentang penjagaan kulit anda. Kesihatan kulit yang baik adalah apabila skin barrier itu kuat. Kulit sering merah dan gatal yang dialami oleh kebanyakan kita terjadi kerana penggunaan bahan aktif yang berlebihan, atau mungkin ia adalah peralihan kepada pendekatan yang lebih intuitif kepada rutin penjagaan kulit kita. Di sini, EH! Kongsikan 5 tip bagi membantu anda menyelamatkan skin barrier anda agar lebih berkeyakinan dengan diri sendiri.
Cara mengetahui apabila skin barrier anda telah terjejas
Skin barrier merujuk kepada lapisan paling luar kulit, juga dipanggil stratum korneum. Ia adalah lapisan pertahanan pertama yang memberikan perlindungan kepada lapisan kulit anda yang lebih dalam.
Diperbuat daripada protein dan lipid, skin barrier juga melindungi badan anda daripada radikal bebas, bahan pencemar, dan faktor persekitaran yang tidak menyenangkan. Apabila ia sihat, kulit kelihatan berseri. Apabila ia terjejas, ia akan membawa kepada pelbagai masalah seperti jerawat, kegatalan dan kekeringan kronik. Anda juga mungkin perasan bahawa kulit anda terasa pedih, terbakar, atau lebih sensitif apabila menggunakan produk. Tanda-tanda ini mungkin menunjukkan bahawa skin barrier anda perlukan pertolongan.
Tip membaiki skin barrier anda
1. Kurangkan kekerapan exfoliate kulit anda
Exfoliate terkenal dengan membersihkan kulit dengan lebih dalam tapi tahukah anda ia akan merosakkan skin barrier jika kita melakukannya dengan kerap? Menggosok terlalu kuat dan terlalu kerap adalah sebab mengapa ia terjadi. Perkara sama berlaku untuk pengelupasan kimia seperti AHA dan BHA yang membantu dengan pembaharuan kulit dan perolehan sel, tetapi sebenarnya ia tidak elok untuk kegunaan harian dan sama sekali tidak boleh digabungkan dengan bahan yang kuat seperti retinol.
2. Mencari pencuci muka sempurna untuk kulit anda
Agak susah untuk mencari pencuci muka untuk kulit anda, pasti bingung kerana tidak pasti sama ada sesuai ataupun tidak. Mantel asid halus kulit anda berlegar di sekitar pH 4.7. Tetapi pH sesetengah produk kulit boleh berkisar antara 3.7 hingga 8.2. Penyelidik mengesyorkan pembersihan dengan produk yang mempunyai pH antara 4.0 dan 5.0. Mengekalkan pH kulit anda pada tahap yang sihat boleh membantu melindungi anda daripada keadaan kulit seperti dermatitis, ichthyosis, jerawat dan jangkitan Candida albicans. Tidak semua jenama menyenaraikan pH pada produk mereka, jadi mungkin ia lebih baik jika anda membuat kajian dahulu tentang produk itu sebelum membeli.
3. Sentiasa hidrat, kunci kepada kulit yang sihat
Kulit kering terjadi kerana anda gagal melindungi kulit daripada kehilangan air. Pendedahan UV yang berlebihan boleh membahayakan dengan mengeringkan kulit. Menggunakan produk yang menghidratkan boleh membantu mengekalkan kandungan air yang optimum dalam kulit dan memastikan penghalang kulit anda berfungsi dengan cara yang sepatutnya. Kandungan yang anda perlu tahu yang berfungsi untuk penghidratan ialah hyaluronic acid, panthenol atau vitamin B5, glycerine, propylene glycol, dan butylene glycol. Selain mencari produk yang mengandungi air, lebih baik juga anda minum air secukupnya agar kulit boleh sihat dari dalam.
4. Jangan lupa pelindung cahaya matahari
Saya yakin semua orang mempelajari bahawa pelindung cahaya matahari amatlah penting untuk kulit, ia melindungi kulit anda dengan menghalang sinaran UVA, UVB, dan cahaya biru matahari daripada diserap oleh kulit. Sinaran UVA membentuk 95% daripada sinaran terdedah daripada matahari. Mereka menembusi secara mendalam melalui dua lapisan atas kulit, menyebabkan tanda-tanda penuaan yang boleh dilihat. Sinaran UVB hanya membentuk kira-kira 5% daripada sinaran yang dipancarkan oleh matahari, tetapi meletakkan anda pada risiko yang lebih besar untuk mendapat kanser kulit kerana sinaran UVB merosakkan DNA sel kulit. Jadi jangan pandang ringan tentang pelindung cahaya matahri, pakai dengan betul dan sentiasa memakai semula selepas dua atau tiga jam.
5. Utamakan gaya hidup seimbang
Skincare adalah kunci rutin penjagaan kulit anda, tetapi apa yang berlaku secara dalaman juga akan menimbulkan kesan pada kulit anda, jadi menjalani gaya hidup sihat juga adalah kunci untuk menyembuhkan dan menghalang masalah yang akan hadir ke atas kulit anda. Pastikan anda makan diet yang sihat, seimbang, dengan banyak makanan berlemak yang kaya, seperti kacang, buah-buahan dan ikan. Mula mengambil suplemen minyak omega berkualiti tinggi setiap hari, anda akan melihat perbezaan besar dalam daya tahan kulit anda dan kesihatan keseluruhan.
Baca: 7 Jenama Penjagaan Kulit Lokal Terbaik Untuk Rutin Harian Anda