Sudah ke penghujung tahun bagi acara karpet merah tahun ini, EH! menyorot kembali penampilan selebriti yang viral di karpet merah sepanjang tahun 2024.
Gaya para selebriti sering menjadi tumpuan apabila mereka melangkah di karpet merah. Dengan berakhirnya tahun 2024, tiba masanya untuk melihat kembali penampilan mereka yang mencuri perhatian sepanjang tahun ini.
Tahun ini, para bintang A-listers memahami kepentingan karpet merah sebagai platform global. Ada yang mengambil kesempatan untuk mempromosikan pereka fesyen baharu di tengah cabaran ekonomi yang memaksa label kecil gulung tikar, manakala yang lain terus mengangkat fesyen arkib yang lestari. EH! membawakan penampilan selebriti paling viral di karpet merah sepanjang tahun ini.
Chappel Roan di VMAs
Chappel Roan, yang mula dikenali menerusi lagu *”Good Luck Babe”, menarik tumpuan ramai ketika muncul di karpet merah MTV VMAs dengan busana lengkap bertemakan ratu pahlawan era medieval bagi penampilan sulungnya di acara berprestij itu. Gaya uniknya turut diserikan dengan kuku berunsur mistik dan aksesori gelang rantai besi.
Miley Cyrus di Grammy Awards
Mylie Cyrus melangkah ke karpet merah Grammy Awards dalam gaun emas yang direka khas untuknya oleh John Galliano untuk Maison Margiela. Gaun lutsinar sepenuhnya itu diperbuat daripada ratusan safety pins emas yang disusun seperti perisai, membentuk corak geometri yang menutupi tubuhnya.
Bintang pop itu melengkapkan gaya berani itu dengan kasut tumit tinggi tabi berona kuning dan emas.
Zendaya di Premier Dune 2, London
All hail to the queen! Zendaya hadir ke premier Dune 2 dalam busana vintaj yang menakjubkan ini, diambil daripada koleksi couture Mugler Musim Luruh/Sejuk 1995, menampilkan sut perisai krom yang diselang-selikan dengan panel lutsinar pada bahagian lengan, dada, belakang, dan kaki
Zendaya, seperti biasa, tampil memukau dengan memadankan gaya ini bersama rantai berlian yang berkilauan dengan batu permata biru besar di tengahnya, serta kasut platform stiletto logam yang sepadan daripada Mugler.