EH! senaraikan selebriti & pempengaruh Malaysia yang berjaya dalam lulusan akademik bidang Komunikasi Massa (Masscomm), Teater, Muzik dan Seni Persembahan.
Selebriti & pempengaruh seperti Datuk Aznil Nawawi, Aina Abdul dan Nadhir Nasar antara individu contoh yang telah berjaya dalam industri kreatif dengan memanfaatkan latar belakang akademik mereka kepada masyarakat.
Kerjaya mereka menunjukkan bahawa kos pengajian seni relevan dan penting untuk membentuk budaya, menyampaikan mesej kepada masyarakat, dan memperkukuh identiti negara.
Setiap bidang ilmu, termasuk seni dan komunikasi, telah melahirkan ramai selebriti & pempengaruh profesional. Ada antara mereka telah menyumbang kepada pembangunan industri hiburan dan budaya negara. Ps; bukan sekadar graduan “asal lulus.”
1. Nadhir Nasar
Graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nadhir Nasar merupakan juara pertandingan Hero Remaja pada tahun 2020. Beliau juga telah mengembangkan bakatnya dalam bidang pengarahan, termasuk mengarahkan video muzik dan filem pendek. Salah satu karya arahannya, Villa Rosly, telah tercalon sebagai finalis dalam BMW Shorties 2022.
2. Sherry Alhadad
Sherry Alhadad, atau nama penuhnya Shariffah Mariam binti Syed Abdullah Al Hadad memulakan pengajiannya dalam bidang seni di Akademi Seni Kebangsaan (kini dikenali sebagai ASWARA), di mana beliau memperoleh Diploma dalam Lakonan dan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengarahan Teater.
Kini, beliau turut berkhidmat sebagai pensyarah dalam bidang teater di institusi yang sama, beauty with brain!
3. Nadia Brian
Nadia merupakan graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan kelulusan Diploma Seni Teater dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa. Dengan latar belakang pendidikan dalam seni teater, Nadia memulakan kerjayanya di pentas teater sebelum beralih ke dunia lakonan televisyen dan filem.
Selain daripada kerjaya seni, Nadia juga menceburi bidang keusahawanan dengan melancarkan produk makanan kesihatan seperti NB Muffin dan NB Bar.
4. Aina Abdul
Selepas memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nurul Aina Abdul Ghani atau nama pentasnya, Aina Abdul melanjutkan pengajian di Universiti UCSI, Kuala Lumpur dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Muzik Kontemporari.
Apa yang paling membanggakan ialah Aina pernah menyertai pertandingan antarabangsa, World Championship of Performing Arts (WCOPA), Los Angeles pada tahun 2014 terus membawa pulang trofi Vocalist of the World sekaligus mewakili Malaysia dengan memenangi pingat emas dalam kategori vokal!
5. Yazmin Aziz
Pempengaruh dan penyanyi kacukan Malaysia-Filipina, Yazmin Aziz memulakan pendidikan awal dalam bidang Speech and Drama di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC).
Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang Komunikasi di HELP University, di mana beliau menamatkan pengajian Diploma pada Mei 2021 dan kemudian mengikuti Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Pengajian Media). Yazmin juga menempa nama di pertandingan antarabangsa, memenangi Pingat Perak dalam kategori vokal di World Championship of Performing Arts (WCOPA) pada tahun 2017 di California, Amerika Syarikat!
6. Ernie Zakri
Ernie Zakri, atau nama penuhnya Nur Ernie Shahirah binti Zakri terkenal dengan vokal soprano yang mantap dan teknik nyanyian yang mengagumkan. Berasal dari keluarga seni iaitu bapanya, Zakri Ahmad, ialah pemain dram kumpulan Kilat, manakala ibunya, Rafiaah Mohamed, adalah sepupu kepada penyanyi terkenal Ziana Zain dan Anuar Zain. Sudah pasti mewarisi bakat keluarga!
Graduan bidang muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam dan seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana Muzik dari Universiti Malaya, Ernie menjulang Juara Bintang RTM 2009 pada usia 17 tahun!
Tidak terhenti disitu, Ernie memenangi Anugerah Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32 (2018) bersama Syamel menerusi lagu “Aku Cinta” dan sekali lagi di AJL ke-35 (2021) menerusi lagu “Gundah”. Lagu “Masing Masing” mencipta sejarah sebagai lagu Melayu paling lama bertahan di tangga nombor satu carta domestik Malaysia selama 27 minggu, serta menduduki tangga teratas carta IFPI di Malaysia, Indonesia, dan Singapura.
7. Shaza Bae
Dinobatkan sebagai juara Dewi Remaja 2019, memang secocok dengan keperibadian dan latar belakang Shaza Bae atau nama sebenar Shaza Nuriman Mohamad Zamri. Memulakan pengajian dalam bidang seni di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan kemudian melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM), Shaza bukan sahaja petah berkata tetapi sangat merendah diri serta peramah apabila disapa.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah sambilan dalam bidang penulisan kreatif di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM Kampus Puncak Perdana, Shah Alam.
8. Hatta Dolmat
Seorang pereka fesyen Malaysia yang terkenal dengan komitmennya terhadap fesyen lestari dan inovasi dalam industri fesyen tempatan, Hatta memulakan pendidikan dalam bidang fesyen dengan memperoleh Diploma dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Reka Bentuk Fesyen dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Sejak dari itu, Hatta memperolehi pelbagai anugerah antaranya menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record sebagai pereka fesyen pertama di Malaysia yang menghasilkan koleksi lengkap berasaskan kelestarian dan mesra alam.
9. Farisha Iris
Farisha mula menempah nama dalam industri hiburan sejak usia kanak-kanak menerusi rancangan realiti seperti Idola Kecil dan Ceria Popstar. Bakatnya yang menyerlah membawanya ke pentas Big Stage musim ketiga pada tahun 2020.
Namun, apa yang lebih membanggakan ialah kejayaan Farisha dalam bidang akademik. Beliau memulakan pengajian tinggi dalam bidang Komunikasi Massa di Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Alor Gajah, Melaka, sebelum meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam di UiTM Shah Alam. Tidak terhenti di situ, pada Januari 2024, Farisha telah berjaya menggenggam Ijazah Sarjana (Master’s Degree) dalam Komunikasi Massa, juga dari UiTM.
10. Hawa Rizwana
Bekas penyampai berita dan penghibur untuk program hiburan ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Komunikasi Massa dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.78 pada Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-95.
Pada Disember 2024, beliau berpeluang mengikuti kursus jangka pendek di Universiti Oxford, United Kingdom! Kursus tersebut, dikenali sebagai Leadership Entrepreneurship Acceleration Programme (LEAP), berlangsung selama seminggu dan bertempat di Lady Margaret Hall, salah satu kolej di universiti berprestij itu.
11. Dr Soo Wincci
Pelakon, penyanyi dan juga model, Dr. Soo Wincci, 34, melakar sejarah apabila namanya kini terpahat dalam Malaysia Book of Records apabila bergraduasi sebanyak 5 kali dalam tempoh 15 tahun.
Bukan itu sahaja, Wincci turut mencipta dua rekod baharu yang lain iaitu Most Number of Academic Degrees Obtained by A Beauty Queen dan Most Number of Academic Degrees Obtained by a Recording Artist dalam Malaysia Book of Records. Ijazah pertama beliau adalah daripada University of Reading, United Kingdom dalam bidang undang-undang, kemudian melanjutkan pelajaran untuk ijazah sarjana Pengurusan Perniagaan di University of Sunshine Coast, Australia sebelum meneruskan doktor falsafah dalam bidang sama di Open University, Malaysia.
Wincci juga telah menyambung pelajaran dalam sarjana Produksi, Teknologi & Inovasi Muzik di Berklee Valencia, Sepanyol dan menyambung Post Master Fellowship Degree dalam Live Music Producton di universiti sama.
12. NYB Che Puan Juliana Evans
Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dengan Kepujian dari Universiti Sunway, Subang Jaya Selangor dan kemudian pada tahun 2012, beliau telah melanjutkan pengajian pascasiswazah peringkat Master’s Degree di Western Michigan University di Kalamazoo, Michigan, Amerika Syarikat dan berjaya memperoleh Sarjana dalam bidang Perfileman, Video dan Media.
Tersenarai antara salah satu penerima Anugerah Dekan sebagai pengiktirafan kepada pencapaian akademik, YB Che Puan Juliana Evans merupakan pelajar cemerlang sepanjang tempoh pengajiannya di College of Arts and Science, Western Michigan University.
13. Daphne Iking
Personaliti TV terkenal, Daphne Iking, atau kini mesra dengan nama Dahlia merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam Penyiaran (Filem, TV dan Radio) dan pada tahun 2004, memperolehi Ijazah Sarjana dalam Komunikasi. Kedua-dua pencapaian akademik tersebut diperoleh dari Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang.
14. Azfar Heri
Seorang pempengaruh media sosial yang terkenal, Azfar Heri, atau nama sebenarnya Muhammad Azfar Herisyam memulakan kerjayanya dengan memuat naik video memasak yang mencuit hati di platform seperti YouTube, TikTok, dan Instagram.
Azfar merupakan graduan dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), di mana beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Teknologi Multimedia (Kepujian) dalam Reka Bentuk Multimedia Interaktif. Beliau sebelum ini telah menamatkan pengajian Diploma Multimedia di institusi yang sama.
15. Liyana Jasmay
Memiliki syarikatnya sendiri, Mermaid Studios yang mengkhususkan kepada penerbitan rancangan televisyen dan usahawanita berjaya dengan menubuhkan Mermaid Luxe dan Mermaid Store pada 2015, Liyana Jasmay berjaya pada usia muda.
Kejayaannya itu selaras dengan pendidikan yang cemerlang tatkala beliau berangkat ke Manhattan, New York, Amerika Syarikat bagi menjalani kursus seni lakonan, pengarahan dan penulisan skrip di Akademi Filem New York (NYFA) selama 6 bulan, ditemani oleh ibunya. Beliau juga merupakan graduan Diploma Seni Persembahan dan Media dari Universiti Sunway.
Baca: Selebriti & Pempengaruh Malaysia Ini Merupakan Graduan Universiti Luar Negara