Dengan lagu baharu berjudul ‘MWA!’, DOLLA bukan sahaja menggegarkan arena muzik, malah menyerlah dalam dunia fesyen, membuktikan mereka punya pengaruh yang merentasi industri.
Siapa yang tidak kenal dengan kumpulan M-Pop sensasi, DOLLA? Kini semakin berleluasa di seluruh negara, mereka bukan sahaja kembali mencuri perhatian peminat muzik tempatan menerusi single terbaharu berjudul ‘MWA!’, malah turut mengukuhkan kehadiran mereka dalam dunia fesyen tanah air.
Kumpulan sensasi ini turut menarik perhatian jenama antarabangsa terkemuka, A|X Armani Exchange, yang melihat potensi besar dalam aura penuh keyakinan dan gaya yang dibawakan oleh ketiga-tiga ahlinya, Sabrina, Tabby dan Angel. Hasilnya, mereka disatukan dalam satu kolaborasi eksklusif yang cukup memukau.
Dalam suasana hangout yang santai namun sarat dengan gaya, DOLLA tampil mempesona mengenakan helaian daripada koleksi Musim Bunga/Panas Armani Exchange 2025. Koleksi ini menampilkan potongan kasual moden yang diserlahkan dengan warna-warna berani, grafik urban dan aksesori statement, sejajar dengan semangat muda, dinamik dan berani yang menjadi teras muzik dan personaliti DOLLA.
Sesi fotografi eksklusif ini berlangsung di sekitar kota Kuala Lumpur, dengan latar bandar raya yang menggambarkan gabungan fesyen global dan semangat lokal. Setiap momen ditangkap dengan sentuhan estetika, menampilkan DOLLA bukan hanya sebagai ikon muzik, tetapi juga duta gaya yang relevan dan berpengaruh.