Tiada magik dalam dunia penjagaan kulit yang ada hanyalah usaha, konsistensi dan serum yang tepat. Bukan janji manis pada label semata. Bila jumpa yang serasi, ia boleh menjadi game changer sebenar dalam rutin harian.
Bila bercakap tentang rutin penjagaan kulit, satu masalah yang tak pernah lekang dari perbualan saya dan rakan-rakan adalah masalah pori. Nampak kecil, tetapi impaknya besar kulit rasa kasar, solekan tak melekat cantik, dan kadang-kadang timbul rasa kurang yakin bila tengok cermin. Saya sendiri pernah alami fasa obses mencari produk yang boleh ‘blur’ pori serta-merta, tapi lama-lama saya sedar rawatan jangka panjang itu lebih penting dari solusi sementara.
Kali ini, EH! senaraikan 5 serum pilihan untuk menangani masalah pori besar. Bukan sahaja boleh membantu mengecilkan pori, malah serum ini turut memperbaiki tekstur kulit agar tampak lebih halus, sekata dan berseri. Masa untuk ucap selamat tinggal kepada pori terbuka dan hello kepada kulit impian!
1. The Ordinary Niacinamide 10% + Zinc 1%
Serum ini sangat popular dan efektif mengawal minyak serta mengecilkan pori. Niacinamide membantu merawat tekstur kulit dan mengurangkan kemerahan, manakala zinc mengawal sebum supaya kulit tidak berminyak berlebihan. Sesuai untuk semua jenis kulit, terutama berminyak dan berjerawat.
2. Paula’s Choice 10% Niacinamide Booster
Ringan dan mudah menyerap, booster ini membantu memperbaiki tona kulit tak sekata dan pori yang ketara. Dengan penggunaan konsisten, kulit akan kelihatan lebih halus, kurang berminyak dan garis-garis halus juga tampak berkurang.
3. Drunk Elephant T.L.C. Framboos Glycolic Night Serum
Mengandungi gabungan AHA dan BHA, serum malam ini menanggalkan sel kulit mati dengan lembut, membersihkan pori tersumbat dan mempercepatkan proses pembaharuan sel. Hasilnya, kulit tampak lebih cerah, bersih dan muda dengan pengurangan pori yang ketara.
4. Laneige Cica Sleeping Mask
Walaupun ia lebih kepada masker malam, teksturnya yang menyerupai serum menjadikannya dua dalam satu. Diperkaya dengan Centella Asiatica, ia membantu meredakan iritasi, memperbaiki kulit sensitif dan mengecilkan pori sambil memberikan kelembapan sepanjang malam.
5. Sephora Collection Targeted Pores Serum
Serum ini adalah pilihan berbaloi dari jenama Sephora. Dengan kandungan asid salisilik semula jadi dan peptida, ia membantu mengurangkan saiz pori, menghaluskan tekstur dan menjadikan kulit kelihatan lebih sekata. Bebas daripada bahan kontroversi dan sesuai untuk digunakan setiap hari, ia juga sesuai untuk anda yang baru bermula dengan rutin penjagaan kulit yang fokus pada pori.
Artikel Berkaitan: 5 Punca Kenapa Kulit Tiba-Tiba ‘Panas’ Selepas Pakai Produk