Penampilan baharu bermaksud membawa peluang baharu, tajuk utama baharu dan membuka lembaran kerjaya yang berbeza. Sama ada melalui pisau bedah atau suntikan, transformasi selebriti Hollywood ini menyaksikan evolusi standard kecantikan baharu di pentas glamor.
Dalam dunia glamor Hollywood, perubahan adalah perkara biasa. Namun, apabila transformasi itu begitu drastik sehingga wajah Selebriti hampir tidak dikenali, ia pasti mencuri tumpuan ramai. Tahun 2025 menyaksikan gelombang baru penampilan yang bukan sekadar makeover biasa, tetapi seolah-olah kelahiran semula bintang-bintang besar Hollywood.
Dalam beberapa bulan terakhir, beberapa nama besar Hollywood mengejutkan peminat dengan perubahan rupa yang begitu ketara. Transformasi ini bukan sahaja menjadi topik hangat di media sosial, malah mencetuskan perbincangan luas tentang prosedur pembedahan plastik dan rawatan yang mungkin mereka lalui. Berikut adalah lima selebriti mendapat perhatian ramai mengenai perubahan penampilan mereka.
1. Lindsay Lohan
Lindsay Lohan kembali ke pentas hiburan dengan penampilan yang jauh lebih segar dan sofistikated, jauh berbeza daripada imej lamanya. Pakar estetik mengatakan dia mungkin telah menjalani beberapa prosedur seperti facelift, rhinoplasty, pembedahan kelopak mata, dan brow lift, selain rawatan seperti botox dan filler. Apapun rahsia di sebalik wajah barunya, yang pasti ia mencuri perhatian dan pujian ramai. Dia kini kembali sibuk dengan projek Freakier Friday dan siri baharu Hulu.
2. Demi Lovato
Demi Lovato, yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan, turut mengejutkan ramai dengan perubahan wajah yang lebih tajam dan tubuh yang langsing. Peminat segera berspekulasi mengenai buccal fat removal dan penggunaan ubat penurun berat badan seperti Ozempic. Namun Demi menegaskan bahawa dia hanya menjalani rawatan bukan invasif seperti Xeomin dan filler. Walaupun tidak mengaku prosedur pembedahan, transformasi wajahnya sudah cukup memancing rasa ingin tahu dan perbincangan hangat peminatnya.
3. Christina Aguilera
Christina Aguilera muncul dengan transformasi wajah yang begitu menawan sehingga nyaris tidak dikenali. Wajahnya kelihatan lebih simetri, pipi runcing, dan kontur yang sempurna. Walaupun tiada pengesahan rasmi, desas-desus mengenai filler, botox, dan buccal fat removal terus menjadi bualan hangat. Penampilan baharunya bukan sekadar perubahan fizikal, tetapi satu pembaharuan gaya yang memancarkan keyakinan baharu dan pesona yang lebih memikat, menandakan kembalinya ikon ini dengan aura yang lebih berkelas.
4. Donatella Versace
Donatella Versace selama ini dikenali dengan penampilan ekstrem, kulit tegang, bibir penuh dan solekan yang tebal. Namun kini, perubahan ketara kelihatan wajahnya lebih lembut dan ekspresi yang lebih semula jadi. Walaupun dia belum mengulas tentang penampilannya transformasi tersebut seakan-akan menandakan babak baru dalam hidup Donatella, selari dengan pengundurannya dari jawatan Ketua Kreatif Versace. Mungkin inilah detik untuknya mengeksplorasi identiti baharu yang lebih tenang.
5. Kris Jenner
Nama Kris Jenner hangat diperkatakan baru-baru ini apabila penampilannya yang tampak lebih muda sehingga ramai menganggap dia adik kepada Kim Kardashian. Dengan kulit yang tegang dan struktur wajah yang lebih muda daripada usia 69 tahun, spekulasi tentang pembedahan plastik terus menjadi bualan di media sosial. Dr. Steven M. Levine, pakar bedah plastik terkenal, dipercayai menjadi individu di sebalik transformasi ini. Walaupun Kris tidak mengesahkan secara terbuka, perubahan dramatik ini jelas mencerminkan obsesi industri hiburan terhadap imej awet muda dan penampilan sempurna.
Artikel Berkaitan: 7 Teknik Urutan Wajah Untuk ‘Snatched Jawline’ Tanpa Perlu Botox