N°1 de Chanel Serum-In-Mist dibotolkan dalam bekas yang lebih chic, bukan sekadar melindungi kulit malah tampak sleek bagai aksesori fesyen.
Bekerja di meja editorial kami didedahkan dengan bermacam-macam produk dari pelbagai jenama. Saban minggu ada saja produk baru sampai ke meja untuk kami cuba. Saya masih ingat lagi penghujung 2021, saya antara media terawal di Malaysia dijemput untuk diperkenalkan dengan N°1 de Chanel. Waktu itu hanya beberapa orang saja terpilih, acara yang berlangsung di Hotel Four Seasons itu juga berlangsung tertutup, satu sesi, seorang saja.
Selepas tiga tahun, Chanel menambah satu lagi produk untuk rangkaian N°1 de Chanel, iaitu Serum-in-Mist. Sebelum ini rangkaian ini juga dilengkapi dengan semburan wajah yang mirip dengan yang sekarang, namun botol yang baharu ini lebih chic, merah menyala.
Apa yang suka dengan semburan ini? Ia bukan seperti semburan lain yang menyerap pantas dan kulit terasa kering semula selepas beberapa ketika. Bila anda menyembur mist ini anda akan rasa kesan lembapan, terasa seolah-olah wajah baru disapu dengan serum dan pelembap. Ia mengambil masa sedikit untuk kulit menikmati kesan semburan sebelum diserap masuk.
Seperti warna botolnya, rangkaian N°1 de Chanel memanipulasi kehebatan dan manfaat bunga kamelia merah yang mana menurut kajian pohon bunga kamelia boleh hidup sampai 200 tahun. Dan atas faktor inilah mengapa Chanel memilih untuk menjalankan kajian selama 19 tahun untuk menyelidik bagaimana bunga ini boleh sehebat ini, dan apa manfaat yang boleh dibotolkan untuk membelai kulit manusia.
Semburan wajah ini boleh disembur bila-bila sahaja, dan sekerap mana pun dalam sehari. Bila kulit terasa tegang akibat stres, sembur saja untuk membuat kulit lebih relaks, selain menghidrat dan melindunginya. Ia mengandungi asid protocatechuic yang melonjakkan kevitalan kulit.
Anda boleh gunakan mist ini sebagai langkah terakhir dalam rejim penjagaan kulit. Atau boleh juga sebagai pemula dalam langkah solekan, kemudian disembur lagi untuk kunci mekap anda.
Tambah menarik, N°1 de Chanel adalah sebuah koleksi yang sangat mementingkan hal kelestarian (sustainability), jadi penghasilannya sangat teliti, dari kajian, penghasilan produk hinggalah pembungkusannya. Pemilihan tekstur dan bahan mengambil kira impaknya kepada alam sekitar namun dalam masa yang sama tidak mengetepikan hal keberkesanannya pada kulit. Kedua-dua hal ini diseiringkan demi satu koleksi yang berkesan dan berkualiti. Bunga camelia merah diguna sebaiknya dalam koleksi ini malah ia juga dijadikan sebagai bahan untuk menghasilkan penutup produk koleksi ini. Chanel menjalin kerjasama dengan Sulapac, sebuah organisasi berpusat di Finland untuk mempatenkan penutup ini.
Anda boleh klik pautan Chanel untuk membeli secara dalam talian atau terus saja ke butik atau kaunter kecantikan Chanel.
BACA: The Devil Wears Prada 2, Ini Fakta Menarik Tentang Filem Sequel Ini!