Jika dulu, nama sang ibu disebut di setiap pentas, kini si anak pula menjadi tumpuan kamera, menghidupkan kembali aura yang pernah menggetarkan dunia. Mereka bukan sekadar anak kepada ikon, tetapi pewaris takhta sebenar dunia runway.
Dunia fesyen sentiasa mencari wajah baharu, tetapi ada yang tampil dengan kelebihan istimewa yang bukan sahaja memiliki rupa paras memukau, tetapi juga lahir dari model ikonik. Kini, mereka melangkah masuk ke spotlight dan membuktikan bahawa bakat dan pesona memang boleh diwarisi. Ini dia generasi kedua supermodel yang sedang mencuri perhatian dunia.
1. Kaia Gerber
Anak kepada ikon era 90-an, Cindy Crawford, Kaia Gerber mewarisi keanggunan klasik dan struktur wajah yang menjadi dambaan lensa kamera. Sejak kemunculan sulungnya di pentas Alexander Wang, Kaia menjadi buruan pereka ternama. Muncul di muka depan Vogue seawal usia 14 tahun bersama ibunya, dan kembali solo pada usia 16, Kaia kini digelar sebagai antara supermodel generasi kedua paling berpengaruh.

2. Lila Moss
Puteri kepada Kate Moss ini membawa aura ‘cool girl’ yang effortless dan autentik. Lila Moss mula mencipta nama menerusi kempen bersama Marc Jacobs Beauty sebelum menyertai pentas peragaan untuk jenama seperti Fendi dan Miu Miu. Wajahnya yang klasik, digabungkan dengan auranya yang edgy, menjadikan Lila sebagai antara model muda paling menonjol hari ini.

3. Leni Klum
Leni Klum, anak kepada Heidi Klum, tidak mengambil masa lama untuk mencipta nama. Debutnya di muka depan Vogue Germany bersama Heidi menjadi detik yang menandakan peralihan legasi. Tidak lama kemudian, dia melangkah di pentas Dolce & Gabbana dengan penuh keyakinan. Leni tampil sebagai model muda yang penuh karisma, mewarisi keanggunan dan disiplin ibunya dalam dunia glamor

4. Lily-Rose Depp
Anak kepada Vanessa Paradis dan Johnny Depp ini telah memikat dunia fesyen dengan gayanya dan aura french girl yang penuh pesona. Seawal usia 16 tahun, Lily-Rose menjadi wajah tetap Chanel, menjadikannya sebuah penghormatan yang turut diterima ibunya satu ketika dahulu. Bukan hanya di dunia fesyen, Lily-Rose turut melebarkan sayap dalam bidang lakonan, menegaskan bahawa dia bukan sekadar warisan bintang.

5. Natalia Bryant
Anak kepada Vanessa Bryant dan mendiang Kobe Bryant, Natalia tampil sebagai wajah segar dalam dunia peragaan. Dengan ketinggian yang mengagumkan dan penampilan yang matang, dia menandatangani kontrak bersama IMG Models dan mula menghiasi halaman majalah seperti Teen Vogue. Pesonanya tenang, bijak dan classy membuktikan bahawa dia mempunyai potensi untuk berdiri sebaris dengan model-model hebat dunia.

Artikel Berkaitan: 7 Gen Z Ini Merupakan Anak Kepada Selebriti Terkenal