Sebagai model dan pencipta kandungan, Kaarthini hadir penuh warna, gaya, dan karakter. Sentuhan kreatifnya mengangkat standard visual di media sosial, menjadikan setiap karyanya pengalaman visual memikat yang menempatkannya sebagai figura wajib diikuti generasi kini.
Muka depan EH! bulan ini menampilkan barisan model generasi baharu, dan Kaarthini adalah salah seorang daripada enam wajah terpilih. Saya mula mengenalinya ketika bertemu di sebuah acara — sentiasa bergaya, penuh warna, jauh sekali daripada suram, dan tidak ketinggalan item ikoniknya: coloured pantyhose!
Ini merupakan sesi penggambaran pertamanya bersama EH!, dan saya benar-benar terpukau melihat kecantikannya. Berborak dengannya terasa begitu mudah, dia bukan seperti segelintir yang ingin kelihatan sempurna setiap masa. Sebaliknya, Kaarthini selesa menunjukkan sisi dirinya yang tulen bahawa dia juga manusia biasa dengan hari baik dan kurang baik.
Hari ini, nama Kaarthini semakin kukuh bukan sahaja dalam dunia kecantikan, malah juga fesyen. Dia telah dipilih menjadi sebahagian daripada keluarga Sephora dan Pandora. Ikuti temubual eksklusif saya bersama Kaarthini.

Bagi mereka yang pertama kali bertemu Kaarthini melalui muka depan ini — siapakah Kaarthini?
Saya Kaarthini. Tahun ini saya berumur 28 tahun. Selain menjadi model, saya juga aktif menerbit kandungan digital.
Satu perkara yang orang sering salah faham tentang bidang peragaan?
Bidang ini hanya tentang menjadi cantik di depan kamera.
Bila Kaarthini sedar bahawa modelling boleh jadi lebih daripada sekadar impian?
Bila saya mula menjana pendapatan yang banyak, waktu itulah saya sedar bahawa ia boleh jadi lebih daripada sekadar impian.
Bagaimana fesyen membantu Kaarthini mengenali diri sendiri?
Ia membantu saya mengekspresikan diri dengan lebih baik tanpa judgement. Saya hanya pakai apa yang membuat saya yakin, tanpa terlalu memikirkan apa yang orang lain rasa tentang saya. Jadi, ia memang lebih kepada ekspresi diri.
Adakah Kaarthini rasa paling berkuasa di depan kamera atau ketika tidak bekerja?
Kedua-duanya, tetapi saya rasa paling yakin dan berkuasa di depan kamera.
Bagaimana Kaarthini membawa personaliti ke dalam pose atau gaya berjalan?
Dengan menjadi… sedikit kelakar secara halus. Bukan pelik, tapi ada sedikit unsur lucu. Tidak terlalu serius, dan kadang-kadang bertutur dengan nada lembut.
Apabila tidak memperaga, apa yang membuatkan Kaarthini lebih ‘real’ atau grounded?
Mengelilingi diri saya dengan haiwan peliharaan. Saya ada banyak haiwan di rumah, dan masa bersama mereka membuatkan saya rasa lebih grounded. Ia mengingatkan saya bahawa dalam hidup ini, ada banyak perkara lain yang penting.

Bagaimana Kaarthini kekal yakin apabila tidak berada dalam keadaan terbaik?
Saya kekal yakin dengan hanya berehat di katil. Mungkin kedengaran seperti menyerah, tapi pada saat kita tidak rasa terbaik, saya tidak berpura-pura yakin. Saya rasa, lebih baik menerima perasaan itu. Semua emosi ada nilainya, sama ada positif atau negatif. Jadi, kalau tak rasa yakin, rehatlah seketika di katil. Tapi jangan terlalu lama, cukup sampai kita ada tenaga untuk bangun semula.
Apa itu kecantikan bagi Kaarthini?
Melakukan perkara yang membuatkan kita gembira adalah antara perkara tercantik yang boleh kita lakukan.
Bagaimana Kaarthini mengimbangi tekanan media sosial dengan menjadi diri sendiri?
Saya rasa saya masih mencari keseimbangan. Sekarang terlalu mudah untuk hilang fokus, dan sukar mengekalkan ketulenan diri kerana orang kadang-kadang ambil idea atau elemen daripada kandungan kita. Tidak semestinya meniru bulat-bulat, tapi kita boleh nampak persamaannya. Jadi, saya cuma terus buat apa yang saya suka. Lama-lama, kita akan belajar membezakan diri daripada orang lain.
Apa yang Kaarthini mahu kerjaya peragaan sampaikan bukan sekadar tunjukkan?
Bahawa keyakinan adalah kunci sebenar untuk berjaya dalam industri ini. Bukan ketinggian, bukan warna kulit, atau rupa paras. Asalkan kita yakin di depan kamera, sanggup menerima penolakan dan kritikan membina, sambil kekal menjadi diri sendiri — itu yang saya mahu kerjaya saya buktikan.
Apakah detik pertama “I made it” bagi Kaarthini?
Bila saya nampak diri saya di papan iklan. Perasaannya unik, dan sehingga sekarang pun masih terasa tidak percaya.
Adakah Kaarthini ditemui atau membina laluan sendiri?
Saya kata kedua-duanya. Saya sendiri memulakan langkah dengan mendaftar dan menghantar mesej kepada agensi, tetapi akhirnya saya juga ditemui oleh ramai orang lain selain pihak pertama yang saya hubungi.
Kaarthini membesar dengan media sosial, bagaimana ia membentuk personaliti Kaarthini?
Saya tidak membesar dengan media sosial. Saya buka akaun Instagram pertama ketika berumur 17 tahun. Tapi media sosial sedikit sebanyak membentuk personaliti saya. Dulu, saya akan pastikan setiap gambar kelihatan estetik. Sekarang tidak lagi, saya hanya ambil gambar seadanya tanpa terlalu memikirkan estetik.
Adakah berada di alam maya kini sebahagian daripada kerja, atau Kaarthini letakkan sempadan?
Ya, berada di alam maya adalah sebahagian daripada kerja saya. Dan tidak, saya tidak menetapkan sempadan yang ketat. Ramai mungkin fikir kerja saya tidak sepenuh masa, tetapi sebenarnya sukar untuk memisahkannya daripada kehidupan harian. Kadang-kadang saya mengedit video tengah malam atau awal pagi. Itu sesuatu yang saya masih cuba kawal.
Bagaimana Kaarthini menggunakan platform dan melindungi ketenangan diri?
Saya gunakan platform saya untuk menyebarkan mesej ketulenan, terutamanya sebagai wanita berkulit gelap. Saya mahu lebih ramai orang menerima budaya mereka sendiri, bukannya hanya mengikut trend semasa. Cara saya menjaga ketenangan diri ialah dengan tidak membaca komen atau DM.
Apa yang masih Kaarthini pelajari dalam peragaan atau kehidupan?
Gaya saya sekarang sangat dipengaruhi oleh warna. Saya dalam fasa ‘colourful era’. Saya suka mencari inspirasi di Pinterest atau melihat gaya awal tahun 2000-an, kemudian cuba mencari pakaian terpakai yang hampir sama.
Apa yang menginspirasikan gaya Kaarthini di depan dan di luar kamera?
Perkara yang saya masih belajar ialah untuk lebih berlembut dengan diri sendiri. Saya boleh jadi agak keras hati bila sesuatu tidak berjalan seperti yang saya mahukan. Jadi, saya cuba mengurangkannya dan lebih memaafkan diri.
Bagaimana Kaarthini kekal berpijak apabila segalanya terasa pantas dan terlalu terdedah?
Bagaimana saya kekal berpijak bila semuanya terasa pantas dan terlalu terdedah? Saya tidur. Saya suka tidur, di mana saja saya boleh. Bila rasa terlalu laju atau cemas, saya berhenti sekejap, dapatkan tidur yang cukup, dan bangun dengan fikiran yang lebih jernih.
Apa maksud berada di muka depan majalah ini untuk Kaarthini?
Peluang ini memang cukup bermakna. Ini adalah muka depan pertama saya, jadi saya sangat teruja. Ia menunjukkan bahawa saya telah melakukan sesuatu yang baik. Walaupun saya kadang-kadang terlalu mengkritik diri sendiri, peluang ini adalah sesuatu yang akan saya hargai sepanjang hidup.