Chanel membuka kabin belaian kulit pertamanya di Malaysia, kini semua berpeluang menikmati belaian kulit yang bukan sahaja berkesan, malah dalam suasana mewah ala Parisian.
Ini khabar baik buat semua penggemar Chanel Beauty. Jika selama ini sapuan pelbagai produk penjagaan kulit Chanel sudah menjadi rejim harian anda, kini anda boleh naik taraf belaian kulit ke satu peringkat yang lebih ekstensif dan semestinya lebih mewah apabila Chanel membuka Chanel Cabin Privé yang pertama di Malaysia.
Rumah fesyen ikonik ini baru sahaja memperkenalkan Chanel Cabin Privé pertama di Malaysia, bertempat di Isetan The Gardens, khusus buat rawatan serta penjagaan kulit yang lebih peribadi, disesuaikan dengan keperluan kulit anda.
Ruang eksklusif ini ditampilkan dengan atmosfera yang intim dan mewah, dihiasi dalam palet hitam dan putih yang sememangnya sudah sebati dengan imej dan identiti Chanel, sempurna dengan sentuhan keemasan yang berkilau serta bunga kamelia yang mekar menghiasi permukaan siling.
Di sinilah anda dijemput untuk meneroka Les Soins Chanel, menu rawatan multisensori yang terpilih, berlangsung antara 60 hingga 90 minit. Setiap sesi dikendalikan oleh Chanel Skincare Experts, menggabungkan formula berharga Chanel dengan teknik gerakan khusus, diiringi terapi muzik yang menenangkan serta pencahayaan artistik, menawarkan satu pengalaman belaian wajah yang nyaman serta penuh transformasi.
Saya letakkan Le Massage de Chanel sebagai tarikan utama. Gabungan harmoni teknik terbaik barat dan timur ini memberikan ketelitian, penjagaan dan perubahan mendalam, dengan setiap pergerakan dirangka khusus untuk menangani keperluan berbeza serta memaksimumkan manfaat rangkaian produk Chanel.
Antara yang diketengahkan termasuklah Sublimage yang meremajakan dan menegangkan kulit, N°1 de Chanel yang menyegarkan, serta Hydra Beauty yang sinonim dengan keberkesanan dalam menyajikan kelembapan maksimum.
Chanel Cabin Privé terletak di Lot 233, The Gardens Mall, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, 59200 Kuala Lumpur.
TIGA PRODUK CHANEL KESUKAAN
Saya kongsikan tiga produk penjagaan kulit yang menjadi kesukaan saya buat masa ini.
N°1 de Chanel Serum-in-Mist.
Ia bukan seperti semburan lain yang menyerap pantas dan kulit terasa kering semula selepas beberapa jam. Bila anda menyembur mist ini anda akan rasa kesan lembapan, terasa seolah-olah wajah baru disapu dengan serum dan pelembap. Ia mengambil masa sedikit untuk kulit menikmati kesan semburan sebelum diserap masuk.
Éclat Premier Bright Milky Essence
Saya menerima esen ini sewaktu kunjungan ke Tokyo bersama Chanel April lalu. Sejak kali pertama mengoles esen ini saya sudah jatuh suka. Makin lama dipakai kulit rasa lebih lembap dan seperti bercahaya. Sampai ke hari ini saya jadikan sebagai olesan pertama sebelum sapuan serum dan pelembap.
N°1 De Chanel Red Camellia Cream
No turning back! Sejak saya menggunakan pelembap ini ia kekal menjadi antara top favourite saya. Saya sukakan pengalaman aplikasi yang membuatkan kulit rasa sejuk dan segar serta merta. Cubalah kalau tak percaya! Dapatkan di pautan INI!
BACA:
Chit-Chat Cantik: Sabrina Azmi