Bukan sahaja rakyat tempatan yang menerima gelaran ini, malah beberapa selebriti antarabangsa turut terpilih untuk dianugerahkan gelaran Datuk.
Di Malaysia, gelaran Datuk merupakan satu bentuk pengiktirafan rasmi yang diberikan oleh kerajaan negeri atau pihak istana kepada individu atas sumbangan besar mereka dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, kebajikan, sukan, seni dan budaya.
Anugerah ini bukan sahaja menjadi simbol penghormatan, malah mencerminkan penghargaan negara terhadap jasa penerima yang berjaya memberi kesan positif dan impak besar kepada pelancongan, industri hiburan dan juga imej Malaysia di mata dunia.
5 nama besar selebriti antarabangsa yang pernah menerima gelaran Datuk di Malaysia, beserta kisah di sebalik penghargaan istimewa tersebut.
1. Jackie Chan
Bintang aksi antarabangsa dari Hong Kong ini turut diberi gelaran Datuk, Panglima Mahkota Wilayah (PMW) oleh Kerajaan Negeri Pahang pada tahun 2015. Jackie Chan bukan sahaja terkenal dengan filem aksi lagendanya, malah turut terlibat dalam kerja-kerja kemanusiaan yang memberi inspirasi kepada ramai.
2. Rossa
Penyanyi popular dari Indonesia, Rossa menerima gelaran Datuk Seri, Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) daripada Kerajaan Negeri Pahang pada tahun 2013. Pengiktirafan ini adalah penghargaan atas kerjasama erat beliau dengan industri muzik Malaysia serta popularitinya yang besar dalam kalangan peminat tempatan.
3. Shah Rukh Khan
Pelakon tersohor Bollywood ini menerima gelaran Datuk, Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) Datuk pada tahun 2008 daripada Kerajaan Negeri Melaka. Penghargaan tersebut diberikan atas sumbangan beliau mempromosikan Malaysia sebagai lokasi penggambaran filem, sekali gus menarik pelancong dari India dan negara lain ke Malaysia.
Antaranya, One Two Ka Four (2001) dengan lokasi popular seperti KLCC, Bukit Bintang dan Forest Research Institute Malaysia (FRIM). Selain itu, siri filem Don turut merakamkan babak ikonik di Langkawi Sky Bridge serta melibatkan menara kebanggaan negara, Petronas Twin Towers.
4. Ramli Sarip (Singapura)
“Papa Rock” dari Singapura ini turut menerima gelaran Datuk, Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) daripada Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2013. Sebagai salah seorang pengasas muzik rock Melayu, Ramli Sarip diiktiraf atas sumbangannya yang besar dalam membangunkan industri muzik di rantau ini.
Walaupun berasal dari Singapura, pengaruhnya dalam dunia muzik Malaysia sangat kuat, malah karya beliau menjadi inspirasi kepada generasi artis tempatan.
5. Fan Bingbing (China)
Barisan Media The Star melaporkan bahawa pelakon filem X-Men: Days of Future Past ini menerima gelaran Datuk Kehormat sempena sambutan hari jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka. Penganugerahan dibuat atas jasanya dalam mempromosikan pelancongan Melaka secara global terutamanya pengaruh penduduk di negeri China.