Yang dinanti sudah tiba, akhirnya La Beauté Louis Vuitton dilancarkan, boleh dibeli bermula 29 Ogos 2025 ini.
Louis Vuitton menambah satu lagi rangkaian produknya dalam bidang kecantikan, selepas mega dengan variasi percikan haruman mewah, La Beauté dilancarkan. Bagi koleksi pembuka ini, La Beauté dibarisi dengan empat koleksi merangkumi gincu dan pembayang mata.
Melihatkan siapa individu di sebalik pembikinan jenama ini, saya percaya tiada siapa mampu menidakkan kredibiliti pengarah kreatif kosmetik Louis Vuitton sendiri, iaitu Dame Pat McGrath. Dia dianggap sebagai salah seorang jurusolek paling berkaliber dalam dunia fesyen dan kecantikan, jadi dari situ kepercayaan akan kualiti produk yang ditawarkan La Beauté memang tidak meragukan.
“Bekerja di belakang pentas pertunjukan Louis Vuitton selama lebih 20 tahun pastinya saya teruja apabila diberi kepercayaan untuk mengetuai pelancaran La Beauté Louis Vuitton. Bagi saya La Beauté datang dengan pembuatan luar biasa, kreativiti dan inovasi. Apa yang dihasilkan bukan sekadar produk, sebaliknya kami mengangkat aras kecantikan mewah ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar Pat McGrath.
DUA PILIHAN GINCU
“Gincu adalah satu ‘kemunculan’, ia adalah identiti dengan satu sapuan. Ia adalah cara bagaimana wanita membawa diri mereka di mata dunia,” kata Pat. Sebanyak 55 warna dihidangkan oleh La Beauté Louis Vuitton menerusi himpunan LV Rouge.
Tambah menarik, LV Rouge datang dalam dua kemasan gincu, menjadikan pilihan warna dan kemasan lebih bervariasi, iaitu kemasan pusam bak baldu (velvety matte) dan juga krim berkilat (creamy satin). Bagi koleksi velvety matte, sebanyak 28 warna ditawarkan manakala creamy satin dibarisi 27 rona untuk calitan bibir anda.
Pat McGrath menamakan tiga gincu ini sebagai bintang dari koleksi ini, dan ini mungkin membantu anda untuk membuat pilihan, kerana tak mudah untuk memilih satu dari 55 warna yang ada.
896 Monogram Rouge
Warna merah yang elegan dan juga malar segar.
203 Rose Odyssée
Warna yang dianggap sebagai simbol kembara wanita Louis Vuitton, warna bak kelopak bunga mawar.
854 Rouge Louis
Merah mewah yang menghubungkan antara jiwa feminin dan keanggunan. Dianggap sebagai rona ikonik yang menggoda.
LV BAUME
Pasti memenuhi permintaan clean girl aesthetic yang mahukan sesuatu yang lebih minimalis dan semula jadi. Hadir dengan 10 warna ‘ringan’ dengan kemasan bibir lembap natural.
Ramuannya juga memelihara bibir dengan campuran shea butter, asid hyaluronik, ekstrak lima perisa beri dan lilin mimosa kitaran semula yang datang dari Grasse. LV Baume menawarkan 48 kelembapan pada bibir dan juga 24 jam salutan gincu pada bibir yang menyelesakan.
051 Monogram Touch
Calitan warna yang diinspirasikan dari warna ikonik, Louis Vuitton Monogram Rouge dalam rona dan tekstur lebih ringan.
030 Tender Bliss
Warna merah jambu yang membuat wajah naik seri, tambahan pula dengan percikan kemasan yang berkilau-kilau.
020 Rose Essentiel
Warna merah samar yang berseri-seri, manis sebagai calitan harian.
LV OMBRES
Louis Vuitton turut menyiapkan lapan palet pembayang mata yang disempurnakan dengan empat ton haromoni setiap satunya. Kata Pat, warna-warna pembayang mata yang ditawarkan benar-benar mewakili identiti jenama ini; bold dan memang dicipta untuk diingati.
Menariknya lagi koleksi ini menawarkan enam kemasan pilihan, dari yang ebtul-betul pusam sampailah yang berkilauan. Dan Pat awal-awal sudah menamakan tiga palet ini sebagai bintang LV Ombres.
896 Monogram Rouge
Seiring dengan warna gincunya, palet ini menggabungkan ton merah dan coklat dengan ton karamel, sesuai untuk gaya bold yang lebih kontemporari.

Pilihan warna yang boleh dipakai setiap hari, tak menjerit perhatian namun masih memukau. Ton keemasan dan gangsa mesra bersatu.
250 Nude Mirage
Buat penggemar warna merah jambu, ini palet buat anda! Pilihan warna yang manis-manis buat riasan kelopak mata.
Selain sembilan produk yang EH! senaraikan ini, mungkin ada yang lain bisa buat anda jatuh hati. Layari pautan INI untuk melihat koleksi sulung kosmetik Louis Vuitton ini.
BACA:
Ini Produk Eksklusif Yang Tiada di Tempat Lain, Hanya di Sephora!