H&M menghimpunkan selebriti dan personaliti fesyen dari Asia Tenggara untuk berhimpun dalam satu malam meraikan ketibaan koleksi musim luruh/dingin 2025-nya di Manila.
Sejujurnya saya berasa teruja untuk media trip ini, pertama sekali kerana ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Manila, keduanya kerana saya akan menyertai H&M untuk previu koleksi terbaru mereka bersama personaliti fesyen Asia Tenggara termasuklah bersama Catriona Gray yang juga merupakan Miss Universe 2018.
Bersama teman media yang lain, kami mengikut jejak selebriti, Eyka farhana dan content creator Juwei Teoh dan Jestinna Kuan ke bumi Filipina untuk acara previu ini. Kami menginap di Grand Hyatt Manila, yang mana acara previu ini turut berlangsung di lokasi yang sama.
PESONA BINTANG ASIA TENGGARA
Acara ini juga dihangatkan dengan kehadiran aktor dari Korea Selatan, Jin Young yang hadir sedondon hitam di hari previu. Selebriti dari Manila ramai yang hadir memeriahkan acara, melengkapkan kedatangan tetamu lain dari Singapura (Tyler Ten, rachel Wong dan Willabelle Wong) dan Vietnam (dibarisi oleh ratu cantik Vietnam seperti Tiểu Vy, Thiên Ân dan Kỳ Duyên). Dan semestinya kesemua tetamu ini hadir dalam persalinan H&M dari koleksi yang sama.
Selain previu koleksi H&M Studio dan H&M Atelier, sebagai kelainan turut dilengkapi dengan TikTok Masterclass bersama dua jaguh TikTok dari Manila dan Singapura, iaitu Mika Salamanca dan Willabelle Ong. Perkongsian ini lebih kepada cara kedua-duanya menerbitkan video yang engaging.
INSPIRASI 80-AN & 90-AN
Sebelum para tetamu menikmati sajian makan malam, mata kami terlebih dahulu disaji dengan kelibat model-model memperaga himpunan H&M musim luruh/dingin 2025. Terbahagi kepada dua bahagian, koleksi pertama didominasi gaya ikonik era 90-an, menghubungkan nadi gaya vintaj dengan sentuhan romantik dan sensual menerusi penggunaan material yang lemnbut seperti renda dan sifon.
Untuk bahagian kedua pula, koleksi ini lebih ‘ganas’ dengan idea rock 80-an yang berpercikan idea gaya glamor. Material seperti kulit membuatkan koleksi ini lebih maskulin namun kekal dengan tarikan gaya yang agak sensual dan futuristik.