Hari ini, momen fesyen dalam pop culture diraikan sebagai hasil kreativiti tanpa batas, melahirkan detik ikonik yang terus memberi impak dan kekal relevan sehingga kini.
Fesyen sentiasa memainkan peranan yang lebih besar daripada sekadar penampilan luaran. Ia menjadi medium ekspresi, lambang keberanian dan cerminan perubahan budaya yang berlaku dari satu era ke era seterusnya. Dalam dunia pop culture pula, fesyen boleh di anggap sebagai simbol pemberontakan, ekspresi seni dan boleh mencetuskan perbualan global yang berpanjangan selama berdekad.
Dari pentas anugerah hingga ke layar perak, EH! senaraikan tujuh momen fesyen paling ikonik yang bukan sahaja mencuri perhatian, tetapi kekal dalam ingatan dunia sehingga ke hari ini.
1. Lady Gaga – Meat Dress
Apabila Lady Gaga melangkah ke karpet merah dengan gaun yang diperbuat daripada daging mentah, dunia hiburan terhenti seketika. Ada yang menyebutnya provokatif, ada yang menganggapnya seni namun tiada siapa boleh menafikan impaknya. Gaun ini bukan sekadar kontroversi, tetapi keberanian tentang identiti, kebebasan dan seni persembahan. Hingga kini, “meat dress” kekal sebagai simbol keberanian dalam fesyen pop.

2. Mariah Carey – Butterfly Top
Direka oleh Emanuel Ungaro, butterfly top ikonik yang dipakai oleh Mariah Carey ini dipakai semasa promosi album Butterfly pada 1997, menjadi salah satu momen fesyen paling ikonik pada hujung era 90-an. Top ini melambangkan transformasi Mariah ke arah era baru yang lebih bebas, yakin, dan ekspresif dari segi muzik dan gaya peribadi, malah mengukuhkan imejnya sebagai diva pop sejati. Butterfly top ini kekal menjadi rujukan fesyen Y2K hingga ke hari ini.

3. Britney Spears dan Justin Timberlake – Denim Sedondon
Tiada siapa boleh lupakan pasangan pop paling berpengaruh awal 2000-an ini. Penampilan Britney dan Justin dalam busana denim on denim di acara American Music Awards 2001 telah menjadi antara momen fesyen paling ikonik dan paling dibincangkan sepanjang zaman. Apa yang dahulu dianggap keterlaluan, kini diraikan sebagai simbol keberanian bereksperimen dalam fesyen pop.

4. Audrey Hepburn – Gaun Hitam Givenchy
Black and elegant. Gaun hitam rekaan Hubert de Givenchy yang dipakai Audrey Hepburn dalam Breakfast at Tiffany’s ini bukan sahaja mencipta definisi “little black dress”, malah menjadi simbol fesyen paling ikonik dalam sejarah. Lebih enam dekad kemudian, siluet ini masih menjadi rujukan utama dunia fesyen dan sinema.

5. Michael Jackson – Moonwalk dan Sarung Tangan Putih
Satu langkah moonwalk, satu sarung tangan putih dan sejarah tercipta. Michael Jackson memperkenalkan gerakan tarian ikonik moonwalk buat kali pertama dan juga gaya yang menjadi identiti global iaitu sarung tangan putih yang telah menjadi lambang keunikan, misteri dan revolusi pop yang terus mempengaruhi dunia muzik, fesyen dan budaya sehingga ke hari ini.

6. Celine Dion – Tuxedo Terbalik
Sebelum fesyen gender-fluid menjadi arus perdana, Celine Dion sudah melangkah ke hadapan. Penampilannya dalam tuxedo putih yang dipakai secara terbalik di karpet merah Oscar pada tahun 1999 dianggap pelik pada waktu itu namun hari ini, ia diiktiraf sebagai satu momen fesyen yang mendahului zamannya. Berani, elegan dan penuh visi.

7. Madonna – Cone Bra
Madonna sentiasa mencabar norma, dan cone bra rekaan dari Jean Paul Gaultier telah menjadi simbol revolusi fesyen pop. Lebih daripada sekadar kostum pentas, ia melambangkan kuasa wanita, kebebasan seksual dan keberanian menjadi diri sendiri. Cone bra ini kekal sebagai salah satu ikon fesyen paling berpengaruh dalam sejarah muzik apabila Madonna memakainya ketika Blond Ambition Tour, 1990

Artikel Berkaitan: Penampilan Selebriti yang Meraih Tumpuan di Karpet Merah 2025
