Selepas lebih setahun dilanda konflik perundangan dan ketegangan dalaman, ADOR secara rasmi menamatkan kontrak Danielle Marsh, sekali gus mengesahkan bahawa penyanyi berdarah Korea-Australia itu tidak akan kembali bersama NewJeans.

Pengumuman yang dibuat pada 29 Disember 2025 itu benar-benar meruntun hati peminat, atau lebih dikenali sebagai Bunnies, yang selama ini berharap kelima-lima ahli NewJeans akan bersatu semula selepas episod hitam yang panjang antara kumpulan tersebut dan agensi mereka.
Dalam satu kenyataan rasmi berbahasa Korea, ADOR menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan mendalam.
“Dalam kes Danielle, kami mendapati adalah sukar untuk dia meneruskan kerjayanya sebagai ahli NewJeans dan artis di bawah ADOR.”
ADOR turut memaklumkan bahawa mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas CEO Min Hee-jin serta seorang ahli keluarga Danielle yang didakwa mempunyai peranan besar dalam mencetuskan dan memanjangkan konflik ini.

Konflik ini bermula pada November 2024, apabila kesemua ahli NewJeans secara sepihak mengumumkan penamatan kontrak mereka dengan ADOR. Mereka mendakwa berdepan isu gangguan di tempat kerja, selain tidak berpuas hati dengan pemecatan Min Hee-jin yang ketika itu menjadi figura penting dalam perjalanan artistik kumpulan tersebut.
Selepas itu, NewJeans mula bergerak secara bebas, membuka akaun Instagram baharu, terlibat dalam aktiviti protes sosial, menjenamakan semula diri sebagai NJZ, dan bahkan membuat persembahan di ComplexCon Hong Kong.
Namun, kebebasan itu tidak bertahan lama. ADOR memfailkan injunksi bagi menghalang aktiviti bebas kumpulan tersebut, yang akhirnya diluluskan mahkamah. Malah, setiap ahli berdepan penalti 1 bilion won setiap kali melakukan aktiviti tanpa kelulusan agensi.
Pada 30 Oktober 2025, Mahkamah Daerah Pusat Seoul memutuskan bahawa kontrak eksklusif NewJeans dengan ADOR masih sah sehingga 2029. Walaupun menghormati keputusan mahkamah, pihak ahli menyatakan bahawa kepercayaan mereka terhadap ADOR telah musnah sepenuhnya.
Namun, pada 12 November 2025, kelima-lima ahli secara mengejut mengumumkan keputusan untuk kembali berbincang dengan ADOR, satu langkah yang memberi harapan baharu kepada peminat.

Siapa Kekal, Siapa Pergi?
Hasil perbincangan panjang antara pihak ADOR, ahli kumpulan serta keluarga masing-masing, Hanni memilih untuk kekal bersama ADOR, manakala Minji masih dalam fasa perbincangan. Sementara itu, Hyein dan Haerin telah disahkan kembali ke agensi, namun Danielle secara rasmi ditamatkan kontraknya.
ADOR turut mendedahkan bahawa sebahagian ahli dipercayai telah lama terdedah kepada maklumat yang berat sebelah dan mengelirukan, sekali gus menjejaskan persefahaman serta kepercayaan antara kedua-dua pihak.
Keputusan ini mencetuskan gelombang emosi dalam kalangan peminat. Media sosial dibanjiri luahan kecewa, kesedihan dan pelbagai persoalan yang masih belum terjawab meninggalkan tanda tanya besar tentang masa depan NewJeans selepas ini.
Artikel Berkaitan: 10 Pelakon Korea Dengan Bayaran Termahal 2025
