Sesiapa yang masih ingat stesen Radio Muzik yang kini telah dibubarkan, pasti akan kenal dengan jejaka pilihan EH! bulan ini, Muaz Mohamed. Suaranya yang menjadi peneman setiap pagi pendengar radio tersebut meletakkan Muaz antara selebriti radio pelapis yang disegani. Biar tidak segah penyampai radio yang lain, peluang mengembangkan bakat di stesen RTM itu disahut dengan kesungguhan. Selain dikenali sebagai pengacara program realiti Pilih Kasih, Bintang HMI dan Diva@1 buat saluran RTM suaranya kini berlegar di ruang frekuensi Nasional FM. EH! membawakan anda mengenal lebih dekat dengan jejaka berusia 28 tahun ini.
MENGAPA MEMILIH KERJAYA DI RADIO DAN PENGACARAAN?
Bagi saya kedua-dua bidang ini hadir dengan kelebihan dan cabaran tersendiri. Ia mengajar saya untuk mendapatkan idea yang kreatif, cepat berfikir serta bertindak bijak dalam menarik perharian pendengar juga penonton.
KELEBIHAN ANDA?
Cara penyampaian juga body language! Bagi saya kedua-dua bidang ini perlu pemahaman sebenar untuk kita betul-betul stands out. Di radio saya perlu lebih santai dan dekat dengan penonton manakala di televisyen pula penampilan harus menjadi antara elemen penting.
PENTINGKAH UNTUK ORANG RADIO POPULAR?
Bagi saya penting kerana skala pendedahan bidang ini semakin meluas. Sudah mula wujud persaingan yang sangat sengit jadi dengan terbitnya elemen populariti akan menarik minat lebih ramai orang baru untuk mendengar sesebuah stesen radio. Dan bagi saya zaman sekarang pendengar mahu kenal rapat dengan suara yang mereka puja di radio.
JIKA DIBERI PELUANG BERLAKON, WATAK BAGAIMANA DIIMPIKAN?
Saya pernah berlakon tapi bukan secara serius namun jika cabaran yang dicari saya mahu melakonkan watak antagonis kerana saya seorang yang susah untuk marah.
PERKARA YANG ANDA INGIN CAPAI DALAM MASA TERDEKAT
Saya mahukan satu segmen sendiri di radio yang mana ia akan menjadi satu segmen yang dinanti-nantikan pendengar. Saya juga mengimpikan untuk mengacara sebuah program kanak-kanak.
IKON GAYA ANDA?
Johnny Depp, David Beckham dan James Dean.
OBSESI TERKINI?
Kasut dan beg!
CARA TERBAIK MENJADI INSAN YANG DISENANGI MENURUT ANDA?
Ikhlas dalam setiap hal yang dilakukan serta kesungguhan.
WANITA ANGGUN DI MATA ANDA?
Yang bijak menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan serta menjadi diri sendiri.
INSTRUMEN PENTING UNTUK SESEORANG WANITA KELIHATAN CANTIK SEPANJANG MASA?
Bijak dalam berfesyen serta penampilan.