Melancong sememangnya menyeronokkan. Tetapi ia pasti bertambah seronok jika rancangan percutian dinikmati bersama aktiviti yang mampu membantu golongan memerlukan! Bukankah ini idea kreatif untuk merakam memori paling berharga?
Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson, Negeri Sembilan
Pokok bakau di pesisiran pantai sebenarnya mampu menjadi penahan daripada bencana seperti tsunami dan hakisan tanah. Justeru, pelbagai program penanaman semula pokok bakau kini semakin bergerak aktif agar risiko bencana dapat diatasi. Mengapa tidak bagi anda yang sukakan percutian di pantai meluangkan masa seketika dengan menanamnya? Selain dapat menikmati keindahan sekitar kawasan pokok bakau sedia ada, anda mampu menambahkan lagi jumlahnya! Paling menarik, jambatan yang panjang dengan panoroma laut indah turut disediakan bagi pengunjung melawat kawasan tarikan itu.
Rantau Abang, Terengganu
Terengganu yang terkenal dengan beberapa pulau eksotik seperti Pulau Kapas dan Pulau Perhentian boleh menjadi pilihan destinasi percutian kali ini. Mengapa? Kerana terdapat beberapa kawasan pantai yang dijadikan kawasan rizab spesis penyu boleh dikunjungi untuk menjayakan kempen mengawal kepupusan spesis unik itu. Selain dapat menyempurnakan tanggungjawab sosial, anda juga berpeluang memegang anak penyu dan melepaskannya ke laut. Pastinya detik itu menjadi kenangan terindah seolah-olah anda berada dalam Discovery Channel yang berjaya menyelamatkan haiwan yang memerlukan bantuan!
Air Terjun Sungai Tekala, Hulu Langat, Selangor
Jika anda mahu bebas seketika daripada hingar-bingar di kota, cubalah rasai pengalaman bermandi-manda di kawasan air terjun. Air yang sejuk dan udara yang nyaman mampu memberikan ketenangan jiwa. Selain aktiviti berkelah, anda sebenarnya boleh melakukan satu lagi aktiviti menarik iaitu bergotong-royong membersihkan sisa sampah di sekitar kawasan air terjun! Anda bukan hanya dapat membebaskan masalah pencemaran, malah hubungan sesama rakan-rakan juga menjadi lebih rapat kerana keseronokannya dirasai bersama. Untuk menjadikannya lebih menarik, adakan satu pertandingan sisa sampah paling banyak dikumpul dan hadiahkan kepada pemenang dengan saguhati sebagai penyuntik semangat yang berkesan!
Taman Negara, Pahang
Sebuah lagi destinasi percutian paling menarik bagi mereka yang ingin merasai suasana berbeza dengan panorama alam semulajadi yang mengagumkan di kawasan hutan. Selain berpeluang mencuba aktiviti menarik seperti memanjat gunung, berakit, memancing dan melihat haiwan, anda juga dapat mengenali cara hidup masyarakat Orang Asli. Tatkala sesi kunjungan ke Kampung Orang Asli, tidak salah jika anda menyumbangkan barangan seperti pakaian mahupun buku dan alat tulis kepada golongan kanak-kanak masyarakat itu. Memandangkan pendidikan penting untuk masa depan yang cerah, secara tidak langsung sumbangan anda mampu menjadi pemangkin semangat untuk generasi itu berusaha ke arah yang lebih baik. Tidakkah itu menyeronokkan?
Kampung Pelegong Homestay, Negeri Sembilan
Kala diri terasa penat, pastinya pulang ke kampung dapat mengubati kerinduan. Apatah lagi pelbagai aktiviti boleh dilakukan untuk menikmati suasana kampung. Jika ini yang diinginkan, melawat homestay adalah percutian terbaik kerana pelbagai kemudahan dan aktiviti menyeronokkan boleh dicuba. Sebagai membalas budi penduduk kampung, anda boleh membantu dengan bercucuk-tanam dan membersihkan kawasan kebun buah-buahan mereka. Selain menyihatkan badan, anda mampu mempelajari teknik terbaik menanam pokok buah-buahan yang tidak mungkin mampu dipelajari dengan mudah tanpa pengalaman sendiri!
(Gambar oleh: Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail)