Digelar ‘Ratu Indie Malaysia’, penyanyi dan pemuzik ini semakin bertapak kukuh di arena seni tanah air. Membawakan alunan segar termasuk hit lagunya, ‘Dan Sebenarnya’, Yuna tetap tidak melupakan asal-usulnya. Ikuti temubual EH! bersama si gadis bertudung chic ini yang begitu mementingkan hubungan kekeluargaan biarpun terpisah jauh demi mengejar cita-cita. |
Yuna atau nama penuhnya, Yunalis Zarai, ceria orangnya. Biarpun baru pertama kali bersua, Yuna tidak kekok untuk diajak berbicara tentang kehidupannya kini. Yang pasti, duta Canon ini cukup gemar bergambar terutama dengan kamera DSLR miliknya. Dalam hati, ‘Oh, mungkin Yuna mahu sentiasa berkongsi kisah hidupnya di Facebook yang kini hampir mencecah jumlah seramai sejuta peminat!’
Sebagaimana yang dihebahkan, Yuna kini sedang sibuk menyiapkan rakaman album di Amerika Syarikat di bawah penerbit terkenal, William Pharrell. “He is a very nice guy! Saya rasakan gaya Pharrell tidak banyak bezanya dengan rakan-rakan lelaki saya di Subang. Orangnya cukup humble,” katanya. Namun, dalam kesibukannya di negara orang, Yuna tetap menghubungi kedua-dua orang tuanya di kampung. “Selalu hubungi nenek dan datuk di kampung?” tanya saya. “Tentulah. Sampaikan mereka sudah pandai menggunakan Skype untuk menghubungi saya! Apa lagi, saya terus menunjukkan kepada mereka di mana saya tinggal, keadaan di dalam rumah, di dapur…it’s so exciting!”, jawabnya yang cukup rapat dengan mereka. |
Ditanya tentang sambutan Aidilfitri, Yuna tidak pernah gagal pulang ke kampungnya di Batu Gajah, Perak untuk menziarahi sanak saudaranya. “Tahun ini, saya akan pulang selama dua minggu untuk beraya di kampung. Sempatlah juga berpuasa dan berbuka bersama-sama nenek dan datuk,” jelasnya yang teruja untuk menyediakan kuih cornflakes untuk dihidangkan kepada tetamu. |
Lagi tentang Yuna
• Sejak bergelar penyanyi, Yuna hanya sempat membuat persiapan hari raya secara last minute berbanding sebulan awal seperti tahun-tahun sebelumnya. • Kuih raya yang digemari termasuk bahulu, kuih cornflakes dan rendang ayam yang dimasak nenek dan datuknya. • Penyanyi antarabangsa, Damien Rice antara inspirasinya dalam pembabitan awal muzik Yuna. • Menyifatkan Qushairi Mohammed Razali atau Qi (mereka dikatakan sedang hangat bercinta!) sebagai lelaki yang cool, humble dan tidak bermegah dengan status selebritinya. • Berkahwin? “Tentunya niat untuk berkahwin terbit di hati masing-masing tetapi tidak tahu bila!” jawab Yuna yang malu-malu ketika diajukan soalan itu. |
Saksikan klip video belakang tabir bersama Yuna dan jangan lupa untuk mendapatkan majalah EH! keluaran Ogos sekarang!