Biarpun sambutan Hari Raya tidak banyak bezanya bagi mereka yang meraikannya, namun memori yang ditinggalkan begitu menggamit perasaan. Bagi angkasawan kedua negara ini, perasaan sayu tetap dirasai tiap kali tibanya Syawal.
Mengapa? Ikuti temubual EH! Bersama Mejar Dr Faiz Khaleed atau lebih mesra dipanggil Dr Faiz dalam Tentang Lelaki bulan ini!
Apakah saat yang paling dirindui Dr Faiz setiap kali Syawal tiba? Berjumpa dengan sanak-saudara dan kawan rapat dalam suatu suasana yang ceria dan muhibah. Apakah pula memori beraya yang membuatkan hati terasa sayu setiap kali terkenangkannya? Alangkah elok jikalau kita semua dapat menyambut syawal dengan semua ahli keluarga dan sanak- saudara tetapi pada hakikatnya, ada beberapa ahli keluarga yang telah kembali ke rahmatullah. Sudah tentu hati terasa sayu apabila mengenangkan mereka. |
Di mana lokasi membeli-belah yang paling digemari untuk persiapan Aidilfitri dan apakah kelengkapan yang kebiasaannya paling mahal dibeli? Jalan Tunku Abdul Rahman dan KLCC. Saya dan keluarga tidak berbelanja besar untuk persiapan hari raya. Yang pasti, aktiviti bersama seperti mengemas rumah beramai-ramai diamalkan untuk merapatkan lagi hubungan. Mungkin membeli baju raya merupakan pembelian paling mahal dalam persiapan Syawal. |
Adakah Dr Faiz menerima ramai tetamu terutama kanak-kanak setiap kali menjelangnya Aidilfitri?
Memang diakui, saya banyak menerima kunjungan tetamu. Saya lebih suka berinteraksi secara santai supaya mereka berasa lebih selesa. Selain tetamu dewasa, kanak-kanak turut tidak melepaskan peluang berkunjung ke rumah.
Kebiasaannya, kanak-kanak banyak bertanyakan soalan-soalan tentang angkasa lepas disebabkan sifat ingin tahu mereka yang mendalam. Manakala tetamu dewasa pula lebih prihatin tentang halatuju Program Angkasawan yang dirancang kerajaan.
Di mana Dr Faiz menyambut Hari Raya pada tahun ini? Insyallah, saya akan sambut hari raya di Keramat, Kuala Lumpur iaitu di rumah ibu saudara. Seperti tahun-tahun lepas, tiada perubahan untuk menyambut hari raya secara berbeza tahun ini. Yang penting, saya dapat menyambut hari raya bersama ahli keluarga dan saudara-mara. |
Apakah kuih raya kegemaran yang mungkin membuatkan Dr Faiz teringat pada kenangan sewaktu zaman kanak-kanak?
Kuih tart. Inilah merupakan kuih yang saya gemari sejak dari zaman kanak-kanak lagi dan ianya hanya dapat dinikmati dengan mudah sewaktu Hari Raya. Jadi, setiap kali saya menikmati kuih tart pasti teringat kenangan sewaktu kanak-kanak.
Dapatkan majalah terbaru EH! untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang jejaka penuh enthusiasm ini!