Gambar: INGimage
Dunia masa kini sudah pastinya pelbagai perkara yang boleh dibuat kala berhujung minggu atau pun kala keluar bertemu janji bersama kekasih hati. Namun, kadang kala sampaikan tiada idea untuk aktiviti kala keluar bersama sehinggakan boleh mengundang pada permasalahan. Ada pula masanya poket sedang kering tidak berisi tetapi terasa ingin berjumpa dengan si dia setelah saban hari tidak ketemu. Jadi, mungkin 10 idea temu janji jimat ini boleh anda pertimbangkan kala ingin bertemu janji.
Merentas hutan
Keluar dari kepompong bosan dan lakukan aktiviti temu janji yang lebih menyeronokkan. Apa kata bawa si dia meneroka isi hutan dan menuju ke kawasan air terjun yang menjanjikan kedamaian alam. Tidak salah untuk bermain tanah dan pacat sesekali. Ia memberi peluang kepada anda berdua untuk menghargai alam serta lari dari kesibukan kota.
Cadangan: Sungai Chilling, Kuala Kubu Bharu.
Berbasikal
Mengayuh basikal perlahan sambil berbual mesra mengenai impian hidup bersama. Selain menyeronokkan, aktiviti berbasikal ini juga menyihatkan. Jika sudah selalu melihat wajah si dia kemas dan rapi, kali ini anda berpeluang melihat sisi santainya. Lap peluh di dahinya sambil tersenyum manja. Aduh, romantis!
Cadangan : Taman Botani Negara, Shah Alam
Berkelah
Dengan bajet yang sedikit, anda boleh menunjukkan bakat membuat sandwic, kek coklat dan juga mi goreng sebagai menu utama kepada si dia. Nikmati detik matahari terbenam bersama. Isi masa dengan bermain layang-layang atau sesi foto berdua dan simpan ia sebagai kenangan manis sehingga ke hujung usia.
Cadangan : Taman Layang-layang, Selayang
Flea-market
Dalam tak disangka, timbunan bundle mempunyai pelbagai barangan yang berkualiti serta unik untuk dibuat koleksi. Jika membeli-belah bukan kegemarannya, kunjungan ke flea-market pasti dapat menarik perhatian si dia.
Cadangan : Pasar Karat, Johor Bharu
Bertukang
Kesibukan kerja pasti membuatkan anda dan si dia kekurangan masa untuk mengambil kira perihal rumah. Di waktu cuti, tunjukkan kebolehan bersama dalam bertukang membuat meja kopi dan atau rak dapur. Pasti anda rasa bangga dengan hasil kerja tangan sendiri.
Cadangan : Kedai peralatan DIY
Fun-fair
Semua manusia pasti merindui saat menjadi anak kecil bermain tanpa perlu memikirkan masalah yang menimbun di tempat kerja. Nah, imbau kembali kenangan itu di fun-fair yang menawarkan harga tiket murah tetapi menyeronokkan. Genggam erat tangannya dan nikmati cahaya lampu yang bergemerlapan.
Cadangan : Bukit Tinggi, Klang
Makan malam
Orang kata, untuk memikat hati lelaki adalah menerusi selera makannya. Apa kata anda dan dia bekerjasama memasak hidangan khas serta menikmati makan malam romatis di rumah. Hias meja dengan lilin, ros merah serta dendangan lagu jazz yang membangkit rasa.
Cadangan : Come Away with Me dendangan Norah Jones
Tonton filem
Dalam seminggu, enam hari adalah hari bekerja anda, tidak kira di rumah mahupun pejabat. Luang hanya sehari tanpa perlu berbuat apa-apa dan bermalasan di rumah dengan menonton filem bersama si dia. Makanan ringan dan aiskrim menjadi peneman di kala anda berpelukan manja dalam dakapannya.
Cadangan filem: The Notebook
Bersukan
Badminton dan tenis adalah antara sukan yang menjadi kegemaran kaum lelaki bagi mengeluarkan peluh. Kongsi kesukaan mereka ini dengan melakukannya bersama. Di samping menyihatkan, ia dapat mengeratkan hubungan anda berdua.
Cadangan : Tempat rekreasi dan riadah
Kerja amal
Dalam bercinta untuk diri sendiri, perlu juga anda mencintai insan yang berada di sekelilingmu. Tidak salah sekali meluangkan masa bersama si dia dan membuat kerja amal di rumah-rumah kebajikan atau badan yang mengalukan kedatangan anda untuk membantu mereka. Bertambah rasa kasih pada diri anda dek keikhlasan hati yang anda punyai.
Cadangan : Rumah-rumah kebajikan dan pusat perlindungan haiwan