Oleh: Farhana Fuad
Gambar: Instagram RizmanRuzaini dan The Asmble
Pereka fesyen terkenal tempatan, Ruzaini Jamil atau nama sebenarnya Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil selamat melangsungkan majlis pernikahan dan seterusnya majlis resepsinya dengan pasangan, Nurul Hidayati Yahya atau lebih dikenali sebagai Deqda baru-baru ini.
Ruzaini mula meningkat naik namanya melalui rekaan fesyen yang sudah terpahat popularitinya di kalangan selebriti-selebriti tempatan melalui label RizmanRuzaini bersama rakan kongsinya RizmanNordin.
Ahad lalu, bertempat di Hotel Renaissance Kuala Lumpur telah berlangsungnya majlis resepsi Ruzaini dan Deqda dengan majlis bertemakan ala Bollywood. Cukup meriah dan warna-warni dengan kehadiran tetamu kehormat, kaum keluarga serta rakan-rakan selebriti yang memeriahkan majlis pasangan sama cocok sama padan ini.
Barisan selebriti yang turut hadir antaranya Ziana Zain, Erra Fazira, Datuk Siti Nurhaliza, Elfira Loy, Amy Search, Rozita Che Wan, Nur Fazura, Scha Alyahya, dan Awal Ashaari.
Ketika berlangsungnya majlis yang serba Bollywood ini, persembahan tarian Bollywood nyata menarik perhatian lensa kamera. Bahkan, selebriti-selebriti terkenal turut serta menjayakan tarian Bollywood untuk majlis resepsi Ruzaini dan Deqda.
Ziana Zain yang juga merupakan selebriti yang kerap mengenakan rekaan RizmanRuzaini turut diberi kesempatan untuk berucap di resepsi ini.
“Rasa macam baru saja mengenalinya. Hakikatnya, sudah sedekad saya mengenali Ruzaini dan rakan gandingannya, Rizman di bawah label Rizman Ruzaini. Memang mereka umpama adik saya sendiri. Melihat mereka bertatih dari kosong hingga kini dikenali ramai, hati juga cukup bangga. Malah, lebih bangga, kini seorang daripada mereka sudah mendirikan rumah tangga. “Saya doakan Ruzaini menjadi suami yang baik kepada isterinya. Kalau sudah berumah tangga, jangan cepat melatah dan mesti bawa berbincang,” katanya.
Ruzaini dan Deqda diijab kabulkan pada 5 Februari lalu bertempat di sebuah villa di Taiping, Perak. EH! kongsikan gambar di sekitar majlis resepsi bertemakan Bollywood untuk meraikan mempelai, Ruzaini dan Deqda.
[soliloquy slug=”ruzaini-dan-deqda”]