Oleh : Farhana Fuad
Sebut sahaja nama Lara Alana, boleh kata satu Malaysia mengenalinya. Dengan jumlah pengikut di Instagram yang mencecah 2.1 juta dan 1 juta pula di Facebook, nyata anak kepada pasangan selebriti popular Awal Ashaari dan Scha Alyahya ini telah menyaingi peminat-peminat kepada ibu bapanya sendiri.
Kali ini, Lara menjadi pelopor kepada si cilik yang pertama mempunyai program realiti tv sendiri. Program tersebut bertajuk Lara Oh Lara akan menayangkan perkembangan harian serta aktiviti Lara yang tidak pernah dipertontonkan di laman sosialnya.
Menerusi Instagram milik Lara dan MeleTOP, majlis pelancarannya berlangsung hari ini (15 Ogos). Program realiti baru ini akan mula ditayangkan bermula 17 Ogos jam 9 malam di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.
Siri ini mempunyai 13 buah episod keseluruhannya. Lara Oh Lara juga akan menampilkan beberapa orang selebriti tanah air yang ditugaskan untuk mengasuh si cilik itu termasuklah Zizan Razak, Remy Ishak, Dynas Mokhtar, Liyana Jasmay dan Ella.