Gambar: INGimage
Anda melakukan kerja seperti diarahkan dan mengikut semua aturan syarikat tanpa pernah melanggar sedikit pun etikanya. Namun ditulis takdir khidmat anda diberhentikan oleh syarikat tempat anda bekerja. Panik? Sudah tentu, tetapi ada cara tepat untuk anda menghadapi situasi ini.
Saya membaca memoir yang ditulis bekas pengarang urusan majalah fesyen nombor satu dunia, Vogue iaitu Grace Mirabella yang dipinjam daripada seorang teman. Kisah Mirabella sangat menarik, dia diberhentikan serta-merta dengan alasan yang kabur kerana syarikat penerbitan, Condé Nast mahu memberi laluan kepada Anna Wintour mengepalai majalah tersebut. Mirabella saat ditanya adakah dia terkejut, jawapannya positif – tidak. Dan ada sesuatu yang harus kita belajar daripada ikon ini. Jika seseorang yang cukup tinggi profilnya ini boleh hilang kerja sekelip mata, apa lagi kita yang di bawah ini. Namun usah gusar ada cara untuk anda menghadapi situasi ini.
SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN
Ini pepatah Melayu yang cukup relevan. Saya tidak menyuruh anda untuk membuka laman web Jobstreet sekarang dan mencari kerja gantian sebagai back-up, itu bukan jalannya. Penting untuk anda tajamkan segala skil kerja dan ilmu yang ada sebagai bekalan andai kata anda diberhentikan kerja. Perlu faham di sini rezeki bukan di tangan kita untuk mencorakkan realitinya tetapi apa yang kita semua boleh lakukan adalah untuk sentiasa belajar dan meluaskan segala kebolehan kerja sebagai persiapan. Ramai yang salah anggap dengan memohon pekerjaan lain tanpa memutuskan sama ada mereka mampu jadikan ia sebagai persiapan jika mereka diberhentikan, kerja dan nyata ini bukanlah cara yang betul. Jika anda tidak punya kualiti kerja dengan pengalaman yang betul bagaimana anda mahu ‘menjual’ diri ketika hari temuduga nanti?
DAN JIKA IA TERJADI?
Usah marah melulu, dengar atas alasan apa anda diberhentikan. Jika ada hujah yang anda ingin suarakan, usah berbalas emosi. Luahkan dengan cara profesional dan bahasa yang betul. Masalah kebanyakan kita hari ini adalah penggunaan bahasa yang salah. Ingatlah semoden mana sekalipun anda, jika tertulis di dalam kad pengenalan bangsa kita Melayu, berbalik pada akar siapa kita. Santun yang sopan dan tutur yang lembut. Hal ini yang kebanyakan orang tiada, bak kata Mark Twain kebanyakan individu hari ini boleh dibaca dengan kebijaksanaan mereka berkomunikasi. Jadi perlu bijak berhadapan dengan setiap situasi berlandaskan skil komunikasi yang tepat. Mana tahu cara anda berhadapan situasi ini mampu membuat majikan berfikir dua kali sebelum membuat keputusan terakhir menghentikan jawatan anda.
LIHAT PELUANG BARU
Lihat pada sudut positif. Ya, bukanlah hal yang mudah untuk anda menghadapi situasi yang tiba-tiba terjadi ini tetapi ia sebetulnya mampu menjadi satu peluang lain untuk anda melangkah lebih luas. Ingat kata-kata yang ditulis, Alaxander Graham Bell – One door close another opens. Hanya kita yang mampu melihat peluang yang ada dan membuka ruang baru dalam kehidupan. Gunakan rangkaian kenalan yang ada untuk mencari peluang baru dan usah sesekali putus asa kerana untuk hidup tiada jalan singkat tetapi ada cara yang mudah sebagai penyelesaiannya.