Sejak dilancarkan pada 13 Jun 2023, saban hari ada sahaja foto atau video teman atau pengguna media sosial di Dioriviera Pop-Up & Cafe melintasi garis masa Instagram saya. Malah saya sendiri ada memuat naik beberapa keping foto saya di sana. Pengalaman dua hari ke Ember Beach Deck di One&Only Desaru memang menyajikan satu pengalaman ‘merah jambu’ yang cukup vibrant. Saya bariskan 7 sebab mengapa anda juga patut berkunjung ke sini!
Suasana Pantai Nan Mewah
Jika anda seorang yang sukakan suasana pantai, inilah peluang untuk anda bercanda di persisir pantai dalam nuansa yang lebih mewah. Dikelilingi dekorasi Dioriviera dalam ton merah jambu membuatkan pengalaman bersantai di sini lebih eksklusif.
Rekaan Pop-Up Yang ‘Mega’
Dalam banyak-banyak pop-up yang pernah saya kunjungi di Malaysia, saya rasakan inilah antara yang paling besar dan berbekas di minda. Salah satu yang paling saya suka ialah sand castle Dior yang menempatkan himpunan Dioriviera. Berlatarkan langit yang membiru, binaan ini sangat menyerlah dan kelihatan cukup istimewa. Bagi saya ini antara tarikan utama saat saya ke sini.
Instagramble Spot!
Bagi yang suka merakam gaya OOTD atau sekadar bergambar, pop-up di sini punya banyak ruang yang boleh menjadi latar rakaman foto dan video anda. Mahu suasana yang redup, mahu yang terang-benderang disirami cahaya matahari, semua tersedia menanti anda. Anda cuba perlu rancang apa yang mahu dipakai sahaja.
Sajian Enak
Dioriviera Cafe punya barisan sajian makanan dan minuman yang bervariasi. Sajian di sini direka khusus oleh Chef Raymond Tham, yang juga merupakan chef eksekutif dan pemilik Beta KL dan Skillet @ 163. Sajian di sini berinspirasikan sajian Mediterranean dengan sentuhan ala Perancis.
Berlibur Tepi Kolam
Pop-up di sini juga dilengkapi dengan kolam renang, dan jika tidak mahu ke pantai, anda boleh bersenang-senang di tepi kolam atau terjun saja untuk berendam. Pengalaman saya ke sini dua minggu lalu, cuacanya sangat panas di waktu tengahari, jadi berendam di dalam kolam ‘Dioriviera’ adalah pilihan terbaik.
Outdoor Cinema
Selain bersantai dan bergambar, anda juga boleh duduk menonton filem kerana di sini ada ruang untuk outdoor cinema dan ia hanya dibuka pada waktu malam sahaja. Atau jika mahu aktif, boleh bermain ping-pong.
Shopping!
Jika ada pop-up mestilah ada barang-barang yang dipamerkan untuk dijual. Di sini anda berpeluang membeli himpunan Dioriviera terbaru dari himpunan sedia pakai hinggalah ke aksesori.
Jadi, bagi anda yang mahu ke sini usah lupa buat janji temu di pautan INI!