Konsisten! Margot Robbie setia menyarung persalinan sedonon merah jambu sepanjang promosi filem Barbie. EH! menyorot antara gayanya yang menangkap perhatian.
Tanggal 21 Julai akan menjadi tarikh yang paling dinanti-nanti bagi penggemar anak patung paling ikonik, Barbie kerana pada tarikh itulah filem ‘Barbie’ akan mula ditayangkan di seluruh dunia.
Sejak enam bulan yang lalu publisiti tentang filem yang dibintangi Margot Robbie dan Ryan Gosling ini sudah pun mula bertebaran di media arus perdana mahupun media sosial. Pelbagai perkongsian melintasi garis masa baik di Instagram, Twitter mahupun Instagram.
Malah sejak sebulan dua yang lalu, lagu tema filem ini yang dialunkan oleh Dua Lipa juga sudah mula diperdengarkan. Dan seminggu dua yang lalu juga lagu-lagu lain mula menyusul.
Ketika ini Margot Robbie yang juga bertindak sebagai penerbit filem ini juga mula rancak menjelajah serata dunia mempromosikan filem ini. Dan apa yang menarik tentulah kepelbagaian gayanya dalam persona merah jambu. Apalah erti Barbie tanpa warna merah jambu, dan ton yang dianggap paling ‘girlie’ ini bagaikan sudah menjadi uniform buat Robbie dalam dua tiga bulan ini. Ayuh kita sorot beberapa gaya Robbie dalam paduan merah jambu.
Ini antara key visual yang awal-awal muncul sewaktu Barbie mula dipromosi. Berlatar belakangkan suasana lazim California, Robbie tampil sedondon merah jambu termasuk tas tangan, dan kesemuanya dari Bottega Veneta.
Sewaktu jelajah promosi ke Sydney juga Robbie menggayakan baju panas dan dipadan bersama skirt pendek metalik Versace. Helaian ini datang dari koleksi musim luruh/dingin Versace 1994. Penampilannya ini lengkap dengan sepatu putih berhias Medusa.
Di acara utama di Sydney, Robbie menggayakan gaun mesh Versace. Ini antara gaya Robbie yang menjadi kesukaan saya sepanjang promosi Barbie setakat ini. Gaun metalik ini diambil dari arkib musim luruh/dingin 1994 Versace.
Foto di atas antara gaya Robbie yang kurang menjadi kesukaan saya. Ini gayanya sewaktu muncul di Seoul. Mungkin kerana potongan tutu dan dipadankan bersama top metalik membuatkan bahagian dadanya kelihatan besar.
Gambar di atas pula gaya retro merah jambu Margot Robbie saat muncul di acara promosi di Las Vegas. Dia memadankan padanan cetakan kotak-kotak bersama sepatu polos merah jambu Christian Loubutin.
Ini pula gaya Robbie dalam gaun pendek bintik polka dari Valentino. Cute!
Dalam sebulan ini kita akan lihat lebih banyak lagi penampilan Margot Robbie dalam persalinan merah jambu. Filem Barbie turut dibintangi oleh Will Ferrell, Emma Mackey, Dua Lipa, Hari Nef, Simu Liu dan Ncuti Gatwa.