Jenama pakaian aktif yang menjadi pilihan selebriti Hollywood, ALO kini membuat debut di Malaysia yang juga merupakan stor keduanya di Asia.
Pagi Jumaat lalu saya ke The Exchange TRX menghadiri acara pembukaan stor ALO yang pertama di Malaysia. Seawal jam 10.30 pagi sudah ramai tetamu berlegar di depan pintu masuk biarpun acara bermula jam 11 pagi. Rata-ratanya teruja untuk meraikan jenama yang sudah lama dikenali ini khususnya mereka yang aktif dengan aktiviti kecergasan lebih-lebih lagi yoga.
ALO terbina dari tiga perkataan, ‘air’, ‘land’’ dan ‘ocean’, sekaligus menjadi pembayang sempurna buat objektif label fesyen sukan mewah ini yang mahu menyatukan ketenangan minda dan gaya hidup aktif.
Bagi anda yang masih baru mengenali ALO, ia sebenarnya diasaskan di Los Angeles sejak tahun 2007 lagi. Ia antara label activewear mewah yang menjadi pilihan kelompok figura terkenal dunia. Antara personaliti yang kerap dilihat menyarung ALO ialah Bella Hadid, Kylie Jenner, Kaian Gerber dan ramai lagi.
Label fesyen aktif ini tidak terhad buat perempuan semata, mereka melengkapkan koleksi saban musim dengan helaian sukan buat lelaki juga. Dari pakaian dalam, baju dan celana sukan, dilengkapi juga dengan jaket dalam pelbagai material sebagai penyempurna gaya.
Jika diamati pada rekaan koleksi ALO, ia menyatukan gaya sukan dengan elemen gaya jalanan yang membuatkan rekaan mereka tidak terhad untuk penggayaan di gim semata. Anda tidak akan kelihatan canggung menggayakannya ke kafe, bersantai bersama keluarga mahupun teman mahupun pilihan sebagai ‘airport look’. Ia menyatukan keselesaan, praktikaliti dan juga stail dalam satu himpunan.
“Kami sangat teruja untuk membawa ALO ke Malaysia. Jenama ini dicipta dengan cukup versatil, mendukung ketenangan minda dan kesihatan. Helaiannya sesuai di jalanan, studio sukan dan adakalanya sesuai untuk ke tempat kerja,” ungkap Datuk Sri Dr Farah Khan, pengasas The Melium Group.
Berbalik kepada acara pembukaan ALO yang terletak di aras satu The Exchange TRX, pagi perasmian itu dihadiri ramai selebriti dan pempengaruh terkenal. Antara yang menjadi yang terawal menjejakkan kaki ialah model Nia Atasha, Thanuja, Deborah Henry, aktres Siti Saleha, To’ Puan Syamim Farid, Mia Nasir, pempengaruh seperti Shalma Ainaa, Athisha Khan, Jestinna dan Christina Kuan.
Singgah ke ALO untuk melihat sendiri koleksi terkini mereka dan anda akan faham mengapa jenama ini begitu popular dan menjadi pilihan ramai. Boleh juga dibeli secara dalam talian di aloyoga.com.
Tonton video model terkenal Georgia May Jagger berkongsi gaya sehariannya bersama ALO.