Chanel meminjamkan lima looks termasuk aksesori seperti beg tangan buat Barbie dan Ken untuk penggambaran filem musim panas paling ikonik tahun ini.
Sudah menonton filem ‘Barbie’? Jika belum, rasanya belum terlewat untuk menonton filem musim panas paling hangat tahun ini. Membaca pelbagai reviu di media sosial (ada yang suka, ada yang sebaliknya), saya rasa ia sebuah filem yang mesti ditonton kerana sesiapa saja orang di dunia ini tahu tentang anak patung paling terkenal di dunia itu. Andai tidak pernah memiliknya sewaktu kecil sekalipun, saya rasa Barbie itu antara ikon penting sewaktu kita membesar. Jadi bila ikon ini difilemkan, pastinya ada sesuatu yang menarik untuk kita tonton.
Sama ada anda suka atau tidak filem ini, satu yang perlu disanjung adalah bagaimana strategi pemasaran dan promosi filem ini dijalankan. Belum lagi filem keluar, ramai yang sudah teruja. Fesyen serba merah jambu juga menjadi kegilaan. Malah ada yang meniru gaya Barbie ke majlis-majlis besar termasuk majlis anugerah. Malah peminat juga teruja menanti senarai trak yang membarisi runut bunyinya, sampai berteka-teki di media sosial.
CHANEL FOR BARBIE
Selain promosi, filem ini juga berjaya menonjolkan elemen penting dalam diri Barbie itu sendiri yakni fesyen. Bagaikan magnet, aura fesyen ini begitu kuat. Kemunculan Margot Robbie di pelbagai promosi filem ini amat mencuri tumpuan, gayanya menjadi buah mulut dan penampilannya dikompilasikan sebagai bahan oleh media juga peminat.
Margot Robbie yang juga salah seorang wajah rasmi Chanel turut mendapat sokongan rumah fesyen paris itu. Menerusi filem ini, Chanel meminjamkan helaian ikoniknya untuk disarung Robbie. Virginie Viard menyenarai pendek beberapa helaian dan aksesori termasuk beg tangan dan kemudian dipilih oleh Jacqueline Durran (penata gaya yang juga sangat rapat dengan Chanel) berpandukan scene dan jalan cerita. Lima look dari Chanel muncul di dalam filem ini termasuk satu sut ski yang disarung oleh Ryan Gosling (Ken).
Margot Robbie dalam satu temubual berkata dia sangat teruja apabila Chanel berminat mahu meminjamkan helaian dari arkib mereka untuk Barbie. “Ada satu baju ini ada ditulis nama ‘CLAUDIA’ (merujuk kepada model Claudia Schiffer) di labelnya, saya teruja untuk menyarungnya. Lagi satu saya sangat sukakan tas tangan berbentuk hati,” ujarnya.