Tengku Mer, satu nama yang semakin bersinar dalam dunia content creator. Bukan sahaja kreatif dan berpengaruh, malah keberaniannya dalam bergaya menjadikannya ikon fesyen yang berani dan unik.
Tengku Mer, seorang content creator fesyen dan gaya hidup yang berbakat. Berusia 23 tahun, dia mula serius dalam dunia content creation sejak tahun 2020. Sejak itu, Tengku Mer semakin giat mengekspresikan dirinya melalui fesyen dan content yang dihasilkan.
Dikenali dengan gaya yang unik dan versatil, Tengku Mer mempunyai keperibadian yang fleksibel dan mudah didekati. Keunikan dan keyakinannya dalam bergaya menjadikannya seorang individu yang menonjol dalam industri fesyen tempatan.
Bagaimana anda menggambarkan gaya peribadi anda?
Saya akan menggambarkannya sebagai ‘fluid’. Saya bukanlah lelaki yang paling maskulin, dan saya juga bukan yang paling feminin, tetapi saya boleh menyesuaikan gaya saya mengikut acara. Jika kod pakaian adalah James Bond 007, saya akan hadir dengan sut lengkap dan mungkin menjadi salah seorang lelaki paling kacak di situ. Tetapi jika kod pakaian acara itu ialah “furry“, saya akan muncul dengan kot berbulu putih besar dan menjadi tumpuan acara hehe. Jadi, saya boleh jadi kedua-duanya. Saya boleh jadi cantik, saya boleh jadi kacak hahaha.
Siapakah ikon fesyen anda, dan apa yang anda kagumi tentang gaya mereka?
Nazreem Musa, kerana dia benar-benar mencerminkan gaya peribadi saya seperti yang saya jelaskan tadi. Di satu acara, dia boleh menjadi antara lelaki paling kacak, dan di acara seterusnya, dia boleh menjadi antara yang paling anggun.
Apakah trend fesyen yang anda paling suka sekarang?
Beg tangan! Saya suka bagaimana banyak jenama tempatan kini menghasilkan rekaan yang menarik dengan siluet dan material yang unik. Dan sudah tentu, saya sentiasa menyokong #sapotlokal hehe!
Apakah satu peraturan fesyen yang anda suka langgar?
Lelaki memakai skirt. Maksud saya, ia bukan sesuatu yang baru, tetapi di Malaysia, kita jarang melihatnya dalam komuniti fesyen kita. Saya rasa ini kerana masih ada yang takut dengan pandangan orang lain, sebab skirt sering dikaitkan dengan feminity. Tapi saya percaya, jika tahu cara menggayakannya dengan betul, seseorang masih boleh kelihatan maskulin dalam skirt. Semuanya tentang gaya!
Jika anda boleh berkolaborasi dengan mana-mana jenama fesyen, jenama mana yang menjadi pilihan dan kenapa?
Behati. Sebabnya, saya suka bagaimana mereka membawa dunia fesyen ke tahap seterusnya dan berani melanggar peraturan, tetapi pada masa yang sama masih berpegang pada akar budaya. Saya suka bagaimana mereka memberikan sentuhan moden pada pakaian atau material tradisional dan mengubahnya menjadi sesuatu yang lebih segar dan relevan.
Pernahkah anda menerima kritikan terhadap pilihan fesyen anda? Bagaimana anda menanganinya?
Oh, sudah tentu! Saya rasa dikritik itu adalah sebahagian daripada proses apabila kita tampil berbeza daripada kebiasaan orang lain. Bila kita memakai sesuatu yang di luar norma, memang akan ada yang rasa pelik atau tidak selesa, sebab melanggar peraturan fesyen itu sendiri boleh jadi sesuatu yang mencabar.
Orang akan ada pendapat masing-masing, tetapi cara saya menghadapinya adalah dengan tidak mengambilnya secara peribadi. Setiap orang ada keutamaan mereka dalam fesyen, dan mereka bebas untuk merasakan apa sahaja tentang pilihan fesyen saya. Tapi selagi saya selesa dan yakin dengan apa yang saya pakai, saya akan terus memakai apa yang saya suka!