Lupakan cerita Emily in Paris! Ayuh tukar selera dan tambah ilmu dengan menyaksikan dokumentari fesyen. Setiap dokumentari ini menceritakan pelbagai kisah peribadi, rahsia kandid serta seni kreatif yang dikongsi bersama. EH! Kongsi empat dokumentari terbaru 2020!
The Supermodels
Brian Grazer dan Ron Howard menjadi orang penting dalam melancarkan dokumentari tentang empat supermodel Naomi Campbell, Cindy Crawford, Christy Turlington dan Linda Evangelista. Dokumentari bertajuk The Supermodels ini bakal ditayangkan melalui Apple TV Plus. Cindy berkongsi bahawa melalui dokumentari ini, ia dapat menceritakan bagaimana perubahan dalam dunia peragaan. Manakala Naomi pula berkata dokumentari ini mampu memberi semangat dan motivasi kepada orang muda seluruh dunia.
Martin Margiela: In His Own Words
Tiada siapa yang mengenali siapakah Martin Margiela kerana peribadinya yang cukup privasi. Namun, Reiner Holzemer berjaya membuka pintu dan mempertontonkan kisah hidup misteri pereka asal Belgium ini melalui karya dokumentari bertajuk Marin margiela: In His Own Words. Ada kisah tentang perjalanan hidupnya serta karya-karya yang menaikkan nama Martin Margiela seperti cerita tentang kasut Tabi.
Salvatore: Shoemaker of Dreams
Pertama kali debutnya di Festival Filem Venice, dokumentari tentang Salvatore Ferragamo ini berkisarkan tentang sejarah hidup empunya jenama ini dari kota kecil di Itali sehingga menjadi buruan bintang Hollywood. Ia diarahkan oleh Luca Guadagnino dan mendapat inspirasi daripada buku dengan judul yang sama. Mendiang Ferragamo berkongsi yang misi hidupnya adalah untuk mencari nilai rekaan kasut yang sempurna!
House Of Cardin
Pereka fesyen yang terkenal dengan cita rasa Space Age juga orang penting dalam membantu Christian Dior melancarkan siluet The New Look, Pierre Cardin bangga dengan terlancarnya dokumentari bertajuk House of Cardin. Dia yang kini sudah berusia 98 tahun, menjempu P. David Ebersole and Todd Hughes selaku pengarah dokumentari ke arkibnya serta rumah ikonik Palais Bulles yang terletak di Cannes. Tambahan lagi, ada kemunculan Naomi Campbell dan Jean-Paul Gaultier berkongsi kisah menarik mereka bersama Cardin.
Pautan berkenaan: 10 Dokumentari/Filem Fesyen Wajib ditonton!