Selain nyanyian, Anugerah Juara Lagu juga membawakan gaya fesyen barisan selebriti di atas pentas, setanding dengan identiti diri mereka. EH! gaya ikonik AJL di era 2000an.
Anugerah Juara Lagu, atau yang biasa dikenali dengan akronim AJL, ialah pertandingan muzik tahunan yang popular di Malaysia, dianjurkan oleh TV3 sejak 1986. Ia menampilkan gubahan muzik dan lirik terbaik setiap tahun ia diadakan. Pencalon diperoleh daripada senarai kebanyakan lagu berbahasa Melayu yang telah mendapat undian terbanyak dalam Muzik Muzik sepanjang tahun, dan kemudian mara ke separuh akhir, yang mana dua belas lagu akan dicalonkan oleh panel hakim untuk menjadi pemenang Juara Lagu.
Selebriti yang membuat persembahan pada malam itu tampil dalam fesyen ikonik dan memukau mata, menjadikan anugerah itu lebih gilang gemilang. Setiap butiran dipilih dengan teliti untuk menonjolkan keberanian dan keanggunan setiap individu, menjadikan mereka sebagai selebriti dengan suara merdu dan menang gaya.
Anugerah Juara Lagu yang ke-38 bakal berlangsung pada 3 Mac ini, EH! senaraikan gaya fesyen ikonik sepanjang AJL berlangsung di era 2000an.
Dato’ Sri Siti Nurhaliza
Dato’ Siti Nurhaliza hadir ke pentas berprestij, AJL ke-25 dengan aura yang tersendiri, mendendangkan lagu-lagunya yang pernah dijuarai semasa AJL, Balqis, Nirmala dan Cindai. Dato’ Siti Nurhaliza menyarung busana ikonik berona turquoise yang dipenuhi berlian, bersama perhiasan berlian di atas kepalanya.
Dayang Nurfaizah
Dayang Nurfaizah membuat persembahan AJL ke- 31 dengan memilih gaya lebih bold dengan suntikan elemen maskulin pada penampilannya, bersesuaian dengan lagunya pada waktu itu, ‘Lelaki Teragung’.
Dayang menyarung jumpsuit kelabu yang dihiasi batu-batu kristal dan dipadankan dengan kot labuh yang menggunakan fabrik baldu.
Aina Abdul
Selebriti yang terkenal dengan suara lunaknya dan gaya fesyen yang pelik, Aina Abdul terus menerus memeriahkan AJL setiap tahun dengan gayanya yang memukau.
Pada pertama kali Aina tampil di pentas berprestij AJL iatu yang ke-34, Aina memakai gaun putih suci dan semasa pertengahan persembahannya, gaun itu mengalirkan cecair seperti darah simbolik hati yang terluka.
Pada AJL ke-36, Aina mengejutkan ramai peminat dengan gaya seperti taman bunga, gaya simbolik bunga mekar sesuai dengan perjalanan lagu yang didendangkan. Paling menarik, bunga pada busana Aina pada malam itu boleh bergerak.
Aina menukar penampilannya selepas itu dengan serba emas, tampil berani dengan busana yang berinsprirasikan Grammy Awards, Oscar dan termasuklah trofi AJL yang bersalut dan berona emas.
Ning Baizura
Ning Baizura tampil atas pentas AJL yang ke-20 dengan hanya berbaju kurung ketika mendendangkan lagu berjudul ‘Awan Yang Terpilu’. Apa yang membuatkannya lebih ikonik, apabila Ning hanya berkaki ayam ketika membuat persembahan.
Kaka Azraff
Memenangi AJL ke-29, Kaka memakai busana serba hitam, material lateks bagi menyuntik elemen bold dan juga feminin dengan gaun meleret di luar. Bukan sahaja busana Kaka yang menarik, headgear Kaka juga memberi kelainan menojolkan gaya yang glamor.
Drama Band
Mengetepikan ‘drama’ yang berlaku sewaktu persembahan Drama Band di pentas AJL ke-34, gaya mereka sememangnya memukau memberi kelainan daripada para selebriti lain yang hadir. Memakai serba hitam merah yang dipenuhi aksesori silver, Drama Band merias wajah mereka dengan solekan yang menampilkan sisi lain seni.