H&M kembali hangat dengan kolaborasi bersama rumah fesyen Mugler, jalinan ilham yang paling dinanti-nanti tahun ini.
Sebaik sahaja video teaser H&M Mugler dimuat naik awal bulan lepas, maka ramailah juga pengguna media sosial memuat naik semula atau berkongsi perkhabaran penuh teruja ini. Ya, H&M agak sepi dengan kolaborasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun kolaborasi ini nampak gayanya berjaya menghangatkan dunia fast-fashion dunia.
Jenama Mugler sendiri sudah kembali di persada fesyen dan hiburan mainstream sejak beberapa tahun dulu, lebih-lebih lagi apabila bintang generasi baharu mula menggayakan rekaan rumah fesyen ini seperti Kim Kardashian, Cardi B, Kylie Jenner dan ramai lagi. Pesona bintang Hollywood ini berjaya menjadikan Mugler kembali menjadi buah mulut di kalangan generasi baharu.
Untuk koleksi ini perbincangannya sudah bermula sebelum Thierry Mugler meninggal dunia pada Januari 2022. Dan rancangan kolaborasi ini direalisasikan Casey Cadwallader, pengarah kreatif Mugler. Casey berkongsi idea dengan H&M untuk satu koleksi buat lelaki dan perempuan, dan tiap helaian dan rekaan aksesori menyuntik stail ikonik dan DNA Mugler, menjadikan koleksi ini sangat signifikan untuk dimiliki.
“Saya sangat terharu dengan kolaborasi bersama H&M ini. Koleksi ini menterjemahkan segalanya tentang Mugler dan setiap helaiannya sangat tepat mendefinisi keaslian Mugler, dari bodysuit, denim dan sharp tailoring. Ia adalah satu koleksi yang dibarisi helaian ikonik,” kata Casey.
Mula dipasarkan kepada umum bermula 11 Mei ini, koleksi H&M Mugler ini pastinya menarik dan boleh jadi mesti milik bagi penggila fesyen. Apatah lagi Mugler yang mula dilancarkan oleh Manfred Thierry Mugler pada tahun 1973 sangat sinonim dengan ilham rekaan yang avant garde, lari dari norma biasa rekaan fesyen pada waktu itu.
H&M sebelum ini pernah melancarkan koleksi bersama pereka dan jenama ikonik seperti Versace, Kenzo, Alexander Wang, Erdem dan ramai lagi. Dan setiap koleksi ini didominasi dan menonjolkan DNA tiap jenama ini dalam sifat sedia pakai.
Tonton video pementasan dan parti H7M Mugler yang berlangsung di kota New York baru-baru ini di bawah;