Chanel membuka tahun 2026 dengan pelancaran kempen terbaru Coco Crush yang dibintangi dua wajah ternama, Jennie Blackpink dan juga Gracie Abrams.
Dua penyanyi masa kini Jennie dan Gracie menjadi taruhan Chanel untuk kempen terbaru rangkaian perhiasan diri ikoniknya, Coco Crush. Meraikan semangat dan jiwa orang muda, kempen ini tentunya tampil bersahaja. Coco Crush himpunan fine jewelry Chanel yang menceduk motif quilt yang sudah sebati sebagai salah satu identiti rumah fesyen Paris ini sejak tahun 1955.
Kempen terbaru ini dinamakan sebagai “Hide and Seek”, yang mana tema ini dihidupkan dalam penceritaan video kempennya yang diarahkan oleh Gordon Von Steiner. Lokasi penggambaran kempen ini berlangsung di Los Angeles, California dan dalam video tersebut dapat dilihat salah satu lokasi ikonik Los Angeles iaitu Chateau Marmont.
Di dalam video ini bintang-bintang yang dijemput Chanel bermain sorok-sorok di dalam kawasan hotel, dan setiap bilik hotel punya ada rahsianya sendiri. Hotel ini tak ubah seperti taman permainan buat cameo video kempen ini termasuklah Mona Tougaard, Lulu Tenney, Mathilda Gvarliani, Akon Changkou dan Qun Ye.
Video ini menyerlahkan identiti Coco Crush yang masih punya elemen anggun di sebalik kemodenan rekaannya. Seperti tagline himpunan fine jewelry Chanel ini, “some encounters you wear forever”. Himpunan ini sememangnya berjiwa malar segar, pelaburan gaya yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.
Koleksi Coco Crush yang terbaru kini sudah pun berada di butik Chanel. Layari chanel.com untuk melihat lebih banyak rekaan terbaru.










