Serancak orang merancang percutian musim panas, serancak itu juga kempen fesyen terbaru bertebaran. Ini tiga kempen baru beg tangan, ada tas tangan baru ada juga yang sudah diiktiraf legenda!
ROSALIA UNTUK LADY DIOR
Lady Dior, terus menjadi tas tangan baris hadapan di Dior. Beg tangan legenda ini sudah menghiasi tangan ikon seluruh dunia sejak dulu lagi. Maria Grazia Chiuri Mempelbagaikan idea dalam memberi sentuhan baharu kepada beg tangan ini setiap tahun.
Musim ini, Lady Dior mempunyai bintang baru sebagai wajah globalnya. Penyanyi pujaan muda-mudi, Rosalia menjadi penyeri kempen baru. Kempen yang terbaru ini dirakamkan oleh jurufoto ternama, Collier Schorr dan wajah Rosalia diabadikan bersama tas tangan ikonik ini dalam nuansa potret hitam putih. Garapan imej ini dilihat selari dengan kelas Lady Dior yang sudah mencapai taraf ikon dalam dunia aksesori fesyen.
HANNI NEWJEANS UNTUK GUCCI HORSEBIT 1955
Beg tangan Horsebit 1955 dan juga loafer Horsebit 1953 adalah dua gandingan klasik dari rumah fesyen Itali, Gucci. Dihembus udara yang lebih muda, kempen baru ini tampil lebih bersahaja, menceduk unsur gaya hidup kelompok gen-z yang lebih bersahaja atau carefree.
Rakaman foto untuk kempen ini dilangsungkan di Seoul di bawah telunjuk pengarah kreatif Gucci sendiri, Director Sabato De Sarno. Figura Hanni dirakamkan dengan berlatar belakangkan tempat-tempat ikonik di kota metropolitan Korea Selatan itu.
BURBERRY THE ROCKING HORSE BAG
“Penggambaran kempen Burberry sering saja menerbit rasa teruja. Saya seronok dapat bekerja dengan Daniel kerana bagi saya dia sangat bijak mengekspresi visi kreatifnya dan pandai menjalin kolaborasi dengan karyawan seni dari pelbagai bidang,” kata Jun Ji-Hyun tentang kemunculannya sebagai sebahagian wajah kempen beg Burberry, The Rocking Horse.
Kempen terbaru beg Burberry ini menampilkan duta-dutanya iaitu bintang Thailand, Bright bersama Jun Ji-Hyun, Tang Wei, aktres Asami Mizukawa juga peragawati, Lily Donaldson dan Nora Attal. Tas tangan yang menceduk inspirasi dari aktiviti berkuda ini tampil menarik dengan kemasan abjad ‘b’ sebagai motif baru rumah fesyen British ini.
BACA: Pertemuan Dua Bintang Calvin Klein Di Tokyo, Jung Kook dan Bright