Menggabungkan unsur tradisional dalam sentuhan moden, Shoong Nuo-Wen — pereka di sebalik “Fétiche The Label” sering menggunakan songket dalam rekaannya, terutama untuk korset berstruktur yang menangkap mata.
Dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur, minat Shoong terhadap fesyen dan pakaian mula berkembang seawal usia 7 tahun melalui aktiviti mencipta pakaian anak patung menggunakan tuala lama dan “menjahitnya” dengan stapler. Selepas menamatkan SPM, pengajian diteruskan di Esmod Kuala Lumpur, yang beroperasi di dalam One Academy.
Selesai latihan industri dan program diploma, situasi pandemik COVID-19 yang melanda pada Mac 2020 membawa kepada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP). Ketika ramai kehilangan pekerjaan atau menghadapi kesukaran mendapatkan peluang kerja, masa yang Shoong luangkan di rumah bersama keluarga menjadi pemangkin kepada lahirnya jenama Fétiche The Label. Jenama ini bermula dengan penghasilan pelitup muka kain sebelum berkembang kepada penghasilan korset yang kini menjadi rekaan ikonik.
Ceritakan lebih lanjut tentang jenama anda dan gaya reka bentuk signature anda.
Fétiche The Label diasaskan pada 10 Oktober 2020, dengan konsep ekspresi diri saya yang kemudiannya berkembang menjadi alat untuk membantu orang lain mengekspresikan diri mereka. “Fétiche” bermaksud “fetish” dalam bahasa Perancis. Saya memilih nama ini yang agak berani untuk menunjukkan bahawa maknanya lebih mendalam daripada yang disangka, dan apabila anda memakai Fétiche The Label, anda menjadi kegilaan setiap mata yang memandang.
Sebagai pereka bebas, apakah cabaran terbesar dalam membangunkan jenama anda?
Saya percaya cabaran terbesar adalah pengurusan masa! Tekanan untuk memenuhi kehendak pelbagai individu, bangsa, saiz, latar belakang dan majlis sangat tinggi. Sebagai jenama kecil, sukar untuk mencari rakan kerjasama yang tidak mengambil kesempatan atas kurangnya pengalaman, usia muda dan mungkin juga kebaikan hati anda.
Pada pendapat anda, apa yang industri fesyen perlukan sekarang?
Industri ini perlukan lebih ramai individu yang benar-benar berminat dengan kerja di belakang tabir. Ramai anak muda yang masuk ke bidang ini hanya mahu berada dalam spotlight tanpa memahami betapa pentingnya peranan pekerja di belakang seperti tukang pola, pemotong kain dan penjahit. Malangnya, peranan penting ini semakin kurang diisi.
Apa yang membuatkan anda tertarik dengan penggunaan kain Songket sebagai material utama dalam rekaan anda?
Saya suka kombinasi warna yang terdapat pada setiap kain Songket! Warna-warna ini seolah-olah telah dipadankan dengan sempurna untuk saya, ditambah pula dengan kilauan benang logam yang sangat melengkapi kain satin yang saya gunakan untuk korset. Dan semestinya, nilai budaya yang tinggi.
Kebanyakan pelanggan saya adalah rakyat Malaysia dan Singapura, dan saya suka idea untuk menghasilkan pakaian yang boleh dihargai oleh semua. Matlamat saya ialah untuk membawa kain Songket, yang biasanya digunakan oleh orang Melayu, untuk turut dihargai oleh kaum Cina, India dan bangsa lain yang ingin mendekati warisan Nusantara yang kaya ini.
Apakah cabaran paling besar dalam menggunakan kain Songket untuk rekaan berstruktur seperti korset?
Cabaran terbesar adalah memastikan corak pada pakaian itu simetri. Songket boleh jadi buatan tangan atau mesin, tetapi tidak semestinya 100 peratus simetri. Jadi, tukang jahit yang mahir perlu bijak memanipulasi fabrik agar bukan sahaja kukuh dan berstruktur, tetapi juga simetri apabila digunakan pada pakaian yang memerlukan ketelitian seperti korset satin.
Apakah jenis muzik atau playlist yang anda dengar semasa bekerja?
Gabungan yang agak lucu sebenarnya – Kanye West dan Taylor Swift! Saya dengar lagu Kanye West kerana bekerja secara bebas kadang kala membuatkan saya terasa seperti hilang akal, dan lirik-liriknya yang ‘gila’ tetapi penuh falsafah sangat saya kaitkan. Kemudian saya dengar Taylor Swift kerana pada akhirnya saya hanyalah seorang gadis biasa.
Jika anda boleh mereka pakaian untuk sesiapa sahaja di dunia ini, siapakah orang itu dan kenapa?
Vivienne Westwood! Beliau adalah pereka kegemaran saya semasa saya mula jatuh cinta dengan seni mencipta korset. Beliau sendiri seorang legenda korset dan saya ingin mereka pakaian untuk beliau menilai hasil kerja saya. Jika ada sesuatu yang boleh saya peroleh, ia adalah peluang untuk belajar lebih banyak daripadanya.
Apakah hobi atau aktiviti yang anda lakukan untuk berseronok?
Saya sangat suka thrifting! Kalau boleh, saya mahu thrifting setiap hari! Ia sangat menyeronokkan bila kita jumpa pakaian yang unik atau apabila kita dapat lihat bagaimana sesuatu pakaian itu dijahit dan disusun, atau melihat bagaimana pakaian itu pernah sangat disayangi oleh pemiliknya sebelum ini.
Apakah satu kata-kata atau motto yang anda pegang dalam hidup?
Saya seorang pencinta falsafah. Di luar semua kata-kata seperti “kerja lebih keras” atau “anda lebih baik dari orang lain”, saya paling terkesan dengan satu kata-kata yang dikaitkan dengan Raja Solomon, iaitu “This too shall pass” (Ini pun akan berlalu).
Saya telah melalui banyak cabaran yang menyakitkan dan juga detik-detik yang indah. Saya sentiasa perlu ingat bahawa begitulah kehidupan, dan begitu jugalah dunia perniagaan! Saya perlu terus bekerja keras dan mencari cara untuk mencapai kejayaan dan mengekalkannya. Saya percaya dengan semangat untuk terus belajar, Fétiche The Label boleh terus berkembang dan memberi manfaat.
Anda boleh beli rekaan Fétiche The Label di sini!
Baca: “Apa Sahaja Pilihan Dibuat, Lakukan Kerana Diri Sendiri dan Minat” – DBLA