Swarovski meraikan syawal tahun ini bersama lagenda negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dalam kilauan barang kemas kristal yang indah!
Syawal kali ini mungkin tidak sama dengan dua atau setahun yang lalu. Setelah sekian lama hanya boleh raikan dalam skala yang kecil, kali ini Syawal disambut meriah. Jangan ambil leka dengan perayaan kali ini, kerana tidak tahu apa yang bakal terjadi buat tahun mendatang. Kita kena bersiap sebaiknya, masa inilah untuk nampak lebih cantik. Meraikan bulan kemenangan! Maka, Swarovski ada untuk membantu dalam hal menata gaya tatkala Syawal tiba. Pilihan aksesori yang ditaruhkan mampu menarik mata yang memandang, apatah lagi menang gaya di pagi Syawal. Kemewahan gaya di kala Syawal menjadi citra penting wanita.
Bersempena dengan momen indah ini, Swarovski menjemput penyanyi tersohor Malaysia sebagai wajah 2022 mereka. Dato’ Sri Siti Nurhaliza tidak perlu lagi diperkenalkan. Pelbagai anugerah sudah digenggam dalam tangan. Suara lunaknya sering menghiasi corong radio. Gayanya juga cukup menyenangkan. Langkahnya cukup teratur, menarik hati semua termasuklah Swarovski. Siti memilih untuk menyantuni diri sendiri apabila tibanya Syawal. Selari dengan tema A Brilliant Journey of Joy, misi utama Siti mahu menjalani kehidupan yang lebih bersifat optimistik. “Syawal adalah waktu terbaik dihabiskan bersama keluarga,” ujar penyanyi lagu Sesuci Lebaran ini.
“Kita perlu saling bermaafan, ia adalah titik permulaan yang baik yang diraikan dengan kilauan indah dan masa hadapan yang lebih cerah. Kekuatan janji-janji ini mampu ditafsirkan melalui aksesori di Swarovski. Ia menawarkan satu harapan, kegirangan dan keyakinan,” sambung Siti.
Artikel berkaitan Swarovski Tampilkan Koleksi Glamor And Joy
GODAAN KRISTAL MEWAH
Swarovski menyajikan pilihan aksesori kristal dalam nada hijau dan diperkemas dengan aneka rona seperti putih, kuning dan emas mawar metalik. Ia adalah tawaran paling bermakna khas buat sambutan Syawal. Koleksi Mellenia yang cukup gah dengan nilai kejelasannya menaikkan lagi seri mewah koleksi Swarovski ini. Rekaannya pula cukup berani dan masih diulit rasa chic, agar gaya Syawal nampak elegan. Ia hadir dalam pilihan seperti gelang tangan, rantai dan cincin. Bintang lain yang bakal menyerikan gaya Syawal adalah pilihan jam tangan Attract. Ia berkilau indah bersama nada penuh harapan dan janji indah.