Jika tahun lalu menyaksikan penyanyi nombor satu negara Datuk Sri Siti Nurhaliza disunting menjadi wajah raya Swarovski, kini peranan itu disandang oleh Mira Filzah.
Neelofa dan Datuk Sri Siti Nurhaliza dua nama yang sangat sinonim dengan jenama aksesori kristal tersohor Swarovski. Saban tahun juga kempen raya jenama ini dilangsungkan secara mega memandangkan penggayaan aksesori dilihat sebagai salah satu penyeri gaya raya yang menjadi pilihan. Menyemarakan suasana kempen koleksi Syawal Swarovski di Malaysia tahun ini, aktres dan pengacara Mira Filzah menjadi pilihan.
Mira Filzah bukanlah satu nama baharu dalam landskap seni tanahair, pernah menghiasi rancangan Nona saban minggu dan barisan drama yang hit, tidak hairan mengapa figura ini menjadi pilihan. Menariknya, foto dan video untuk kempen ini telah dilangsungkan di Dubai.
Menurut Mira dia sangat teruja atas pemilihannya sebagai wajah kempen raya Swarovksi. Baginya pilihan rekaan yang melengkapi koleksi ini cukup variasi dan setiap satunya cukup bersinar dengan tatahan kristal.
“Batu kristal Swarovski memang bergemerlapan dan pastinya pilihan tepat untuk menyerikan gaya raya. Inilah masanya untuk bersama insan-insan yang disayangi, tiada yang lebih indah meraikannya selain bersama Swarovski,” – Mira Filzah.
Antara rekaan nan memukau lagi menyerlah dalam himpunan ini ialah ialah rantai, gelang, cincin, anting-anting dan jam tangan daripada himpunan Constella, Matrix, Dextera, Gema, Chroma, dan Millenia. Tersedia dengan kemasan warna emas dan kemasan rose gold, rekaan ini mudah digayakan dan dipadankan dengan pelbagai gaya busana agar tampak anggun atau mewah.
Sesuai dengan rona-rona hijau tradisional Ramadan, himpunan Millenia menampilkan gaya-gaya baharu halus dengan kilauan kristal hijau tua, manakala bagi himpunan Swan Ikonik pula, swan Swarovski digubah semula dengan Kristal hijau pavé segar yang bercahaya bagai bulan purnama dan berkerdipan laksana bintang di langit.
Koleksi Hari Raya Swarovski kini sudah menghiasi dulang pamer di butik Swarovski seluruh negara dan ia juga boleh dimiliki secara atas talian di pautan Swarovski ini.
BACA: Louis Vuitton x Yayoi Kusama Menyusul Dengan Item & Kempen Baharu