Lupakan seketika seluar jean, mungkin tiba masa untuk anda gayakan skirt denim memandangkan helaian ini kembali hangat kebelakangan ini. Skirt denim rasanya lebih menarik digayakan jika anda gemarkan padanan yang bersifat modesty.
Billie Piper
Denim dengan corak bunga-bunga menjadi pilihan penyanyi pop 90-an ini sewaktu menghadiri majlis makan malam label fesyen Erdem sempena minggu fesyen London. Dari segi potongan dan idea padanan tiada yang baru namun corak flora pada denim ini yang menjadikannya nampak istimewa.
Marianne Fonseca
Saya sukakan padanan denim Marianne sewaktu dia menghadiri minggu fesyen London ini. Bagi saya penampilannya sangat sofistikated. Jaket denimnya memang menang gaya dan pilihan skirt labuhnya juga berbeza dari biasa.
Potongan belahan skirt di tengah-tengah (depan belakang) membuatkan gaya ini sangat menarik. Warna denim gelap menjadikan penampilannya nampak lebih sempurna untuk acara besar. Padanan but tinggi mnelengkapkan keseluruhan gaya.
Ashley Roberts
Gayanya ini dirakam sewaktu dia berjalan-jalan di kota London selepas meninggalkan konti radio. Gaya denim sedondon (warna dan kemasannya) menjadi pilihan, dan Ashley memilih skirt labuh berpotongan longgar. Dia mencipta ‘styling’ dengan mengikat kemeja denimnya.
Tamara Kalinic
Saya sukakan gaya Tamara ini yang dirakamkan sewaktu dia menghadiri minggu fesyen New York baru-baru ini. Saya fikir padanan denimnya sangat menjadi. Padadan tali pinggang sarat perincian memecah keseragaman warna denim sedondon. Lihat sahaja skirt denimnya, memang lawa.
Sonia Lyson
Bagi yang gemarkan gaya oversized, pilihan padanan yang digayakan Sonia ini boleh dijadikan rujukan. Skirt denim longgar dan dipadankan dengan jaket suede coklat oversized. Padanan ini jika betul gayanya boleh juga jadi ikutan mereka yang senang dengan gaya modest, tapi tukarlah bra top dan skirt berbelah itu ya. Gantikan dengan kemeja atau skirt yang lebih sopan.
Georgia Moot
Padanan yang mungkin bagi saya sedikit bosan tapi praktikal untuk jadi rujukan. Georgia memadankan skirt denim dengan jaket bomber dalam warna senada. Dan dia memilih sniker sebagai sepatu, membuatkan penampilan ini sempurna untuk street style!