Berita baik bagi penggemar COS, kini anda boleh dapatkan himpunan malar segarnya secara dalam talian di Zalora bermula hari ini.
Gedung beli-belah dalam talian Zalora menambah variasi kepada rangkaian fesyennya pabila menambah satu lagi jenama kegemaran ramai, COS ke platform beliannya. Bermula hari ini para penggemar fesyen peminat COS khususnya sudah boleh memilih dan mendapatkan helaian kegemaran mereka secara dalam talian. Ini pastinya berita baik buat penggemar COS (termasuk saya) khususnya yang berada di luar Kuala Lumpur untuk mendapatkan helaian dari jenama yang cukup terkenal dengan identiti minimalisnya.
COS memang dikenali sebagai satu jenama fesyen yang mewah dengan tawaran gaya minimalis namun tidak ketinggalan dalam arus trend semasa namun dihidupkan dalam gaya malar segar. Rekaannya tidak terlalu mencuba lantas menjadikan tiap helaian yang dibeli relevan sepanjang masa biarpun musim bersilih ganti. Diinspirasikan dari budaya kontemporari, COS dijenamakan di London cukup utuh dengan idea asas setiap helaian haruslan praktikal selain pembuatan teliti dan berkualiti.
“Kami bangga dengan kejayaan kami membina satu penjenamaan yang kukuh di pasaran Asia Pasifik, mencipta hubungan yang mampan dengan pembeli kami bertahun-tahun. Kolaborasi dengan platform dalam talian seperti Zalora pastinya satu langkah menerujakan untuk menjadikan jenama kami mudah diakses oleh pembeli di Malaysia juga Singapura,” kongsi Christoffer Sellin, pengarah urusan COS Asia Pasifik.
Zalora pula berpendapat langkah memasarkan COS di platform mereka adalah satu kesinambungan kepada idea memperkenalkan jenama-jenama mewah dan premium di bawah satu kategori. “Pembeli setia kami tentunya ada yang memang menggayakan COS jadi pastinya mereka gembira apabila jenama kegemaran mereka kini boleh dihantar terus ke muka pintu mereka,” jelas Simone Cortini, Pengarah Marketplace Zalora.