Aktres ternama Zendaya menjadi wajah taruhan terbaru Louis Vuitton menerusi kempen terkini tas tangan Capucines.
Berlatar belakangkan E-1027, astana agam Roquebrune-Cap-Martin, aksi Zendaya menggayakan beg tangan ikonik Louis Vuitton, Capucines dirakamkan oleh jurugambar fesyen tersohor Mert Alas dan Marcus Piggott untuk kempen sulung aktres ini bersama Louis Vuitton. Zendaya, penerima anugerah di Golden Globe membuat kemunculan sulung sebagai wajah rasmi rumah fesyen Paris ini, dan sebagai ‘tugasan’ pertama, kempen sulung ini mengetengahkan aktres siri Euphoria ini bergandingan dengan beg tangan Capucines.
Dilancarkan pada tahun 2013, nama beg tangan Capucines ini diilhamkan daripada nama jalan di butik pertama Louis Vuitton sendiri, Rue Neuve-des-Capucines. Butik pertama Louis Vuitton ini dibuka pada tahun 1854. Sejak dilancarkan sepuluh tahun lalu, Capucines hari ini diletakkan sebagai salah satu beg tangan paling signifikan di Louis Vuitton. Ia dikelaskan sebagai beg tangan yang versatil dan praktikal, boleh dijinjing, disandang pada bahu mahupun menyilang pada tubuh.
Imej kempen yang dirakamkan di senibina ilham arkitek moden Eileen Gray ini juga mendapat sentuhan penata gaya, Law Roach, dan wajah Zendaya dirias oleh Antoinette Hill dan rambutnya ditata rapi oleh Raoul Alejandre. Kempen Louis Vuitton debut Zendaya ini mula dilancarkan secara global bermula 20 April lalu.
Tonton video kempen Louis Vuitton Capucines yang dibintangi oleh Zendaya di bawah
BACA: Sharifah Rose, Sofea & Shasha Abedul, Merai Himpunan Kapsul Ramadan Louis Vuitton