Wanita, jangan senyap apabila anda berada dalam hubungan keganasan rumah tangga. Pertahankan diri anda!
Kes keganasan rumah tangga semakin membimbangkan di Malaysia dan kini kembali menjadi topik hangat dalam masyarakat selepas kes suami memukul isteri kerana ayam gepuk dan kes wanita hamil anak kembar dipukul sampai lunyai oleh suaminya sendiri.

Dalam banyak kes, terdapat tanda-tanda awal atau sikap tertentu pada pasangan yang boleh menjadi petunjuk kepada tingkah laku agresif dan berbahaya. Namun, ramai wanita sering terlepas pandang petanda ini kerana terlalu percaya atau berharap pasangan akan berubah selepas berkahwin.
7 sikap lelaki yang boleh menjadi petanda awal kepada hubungan tidak sihat dan berisiko membawa kepada penderaan dalam rumah tangga.
1. Cepat marah dan sukar mengawal emosi
Lelaki yang mudah naik angin walaupun perkara kecil merupakan antara petanda awal yang tidak boleh dipandang ringan. Individu yang tidak mampu mengawal emosi sering bertindak secara impulsif seperti menengking, memaki atau membaling barang ketika marah.
2. Terlalu cemburu dan bersikap possessive
Cemburu sedikit mungkin dianggap tanda sayang, namun jika ia melampau hingga mengawal pergaulan pasangan, memeriksa telefon atau melarang bertemu rakan dan keluarga, ia sebenarnya satu red flag dalam hubungan.
3. Suka mengawal setiap perkara
Pasangan yang sentiasa mahu menentukan apa yang perlu dipakai, dengan siapa boleh berkawan atau bagaimana pasangan perlu menjalani kehidupan harian menunjukkan sikap mengawal yang tidak sihat. Dalam banyak kes keganasan rumah tangga, kawalan melampau ini merupakan langkah awal sebelum penderaan berlaku.
4. Tidak menghormati wanita
Jika seseorang lelaki sering merendahkan wanita, membuat lawak menghina, atau menganggap wanita lebih rendah daripadanya, ini boleh menjadi petanda sikap yang berbahaya.

5. Suka menyalahkan pasangan
Lelaki yang tidak pernah mengakui kesilapan sendiri dan sentiasa menyalahkan pasangan atas setiap masalah merupakan sikap toksik dalam hubungan. Dalam situasi keganasan rumah tangga, pelaku sering memutarbelit keadaan dengan menyatakan mangsa sebagai punca kemarahan mereka.
6. Bersikap kasar secara lisan
Perkataan kesat, hinaan, ugutan atau jeritan merupakan bentuk penderaan emosi yang sering berlaku sebelum penderaan fizikal. Ramai mangsa pada awalnya menganggap ia sekadar pergaduhan biasa, sedangkan kata-kata kasar yang berulang boleh memberi kesan mendalam kepada emosi dan keyakinan diri.
7. Tidak menghormati batasan pasangan
Setiap individu mempunyai hak untuk menetapkan batasan peribadi. Namun lelaki yang tidak menghormati batasan ini, memaksa pasangan melakukan sesuatu yang tidak selesa, atau tidak menerima perkataan “tidak” boleh menunjukkan kecenderungan kepada tingkah laku agresif.
