Selepas dua tahun ditutup, Club Med Phuket dibuka semula dengan wajah baharu serta beberapa tarikan yang lebih menyeronokan untuk seisi keluarga.
Melancong ke negara luar menjadi idaman semua hari ini, lebih-lebih lagi selepas dunia dilanda pandemik sejak dua tahun yang lalu. Walaupun ramai yang masih belum bersedia untuk mengembara, terdapat alternatif yang lebih selamat untuk anda terokai seperti di negara jiran. EH! diterbangkan secara eksklusif ke Club Med Phuket di Thailand untuk acara pembukaan semula resort mesra keluarga dengan wajah baharu serta beberapa tarikan yang lebih menyeronokan.
Club Med adalah peneraju dalam percutian premium all-inclusive di dunia. Seperti destinasi eksotik lain, pengunjung Club Med Phuket dapat menikmati segalanya yang ditawarkan di bawah satu bumbung. Dari makanan sepanjang hari kepada aktiviti penuh energi seperti menyelam snorkel, memanah, trapez dan Muay Thai, setiap pengunjung hanya perlu mengikuti jadual yang disediakan untuk menikmati pengembaraan yang lengkap dan menyeluruh.
Selepas dua tahun ditutup kepada umum, resort ini dibuka semula dengan acara pembukaan yang cukup meriah. Terletak di Kata Beach, acara pembukaan ini diserikan dengan kehadiran Timbalan Governor Phuket, Pichet Panapong serta Presiden Club Med, Henri Giscard d’Estaing. Turut hadir delegasi media dari Malaysia, Singapura, Australia, Korea Selatan dan Thailand.
Apa Yang Baharu di Club Med Phuket?
Club Med Phuket kini tampil dengan ruang serta fasiliti hiburan dengan desain yang baharu dalam memberikan percutian yang lebih segar buat pasangan mahupun keluarga. Resort dengan keluasan 16 hektar ini juga disempurnakan dengan keindahan pantai dan terletak di pusat daerah membeli-belah di Phuket.