Bintang tenis Jepun, Naomi Osaka telah mengejutkan dunia tenis selepas pengumuman penarikan dirinya daripada kejohanan Roland Garros di Paris, Perancis.
Naomi Osaka mengejutkan peminat tenis di seluruh dunia selepas pengumumannya untuk menarik diri daripada kejohanan Terbuka Perancis yang sedang berlangsung di kota Paris. Keputusan itu dibuat selepas dia dikenakan denda sejumlah US$15,000 kerana tidak menghadiri sesi sidang media yang dijadualkan sejurus kemenangannya dalam pusingan pertama menentang pemain Romania, Patricia Maria Tig.
Sebelum bermulanya kejohanan Grand Slam kedua itu, Naomi Osaka telah mengumumkan akan memboikot sebarang sidang media untuk menjaga kesihatan mentalnya. Melalui kenyataan rasmi yang dikongsi di laman sosial peribadinya, dia membuat keputusan untuk menarik diri dari Roland Garros agar isu hangat ini tidak menjadi fokus utama sepanjang berlangsungnya kejohanan tenis tanah liat selama dua minggu itu.
“Saya merasakan adalah terbaik buat kejohanan tenis ini, barisan pemain lain serta kesihatan mental saya untuk saya menarik diri agar semua dapat kembali fokus kepada perlawanan tenis yang sedang berlangsung di kota Paris,” menurut kenyataan yang dikeluarkan melalui akaun Twitter.
Tambahnya, pemain nombor dua dunia itu telah menghadapi tekanan dan depresi sejak kemenangan Grand Slam pertamanya di Terbuka Amerika Syarikat pada 2018.
“Sejujurnya, saya telah mengalami depresi yang teruk sejak Terbuka Amerika Syarikat pada 2018 dan cukup sukar bagi saya untuk menghadapinya,” kata Naomi yang turut akan mengalami kerisauan setiap kali sebelum berhadapan dengan pihak media.
Ramai yang telah menunjukkan sokongan selepas duta Louis Vuitton itu membuat keputusan penarikan diri, termasuklah daripada penaja utamanya iaitu Nike. Menurut wakil gergasi pakaian sukan itu, mereka menyokong dan menghargai kekuatan Naomi dengan berkongsi pengalamannya menghadapi isu kesihatan mental. Nike telah bekerjasama dengan juara Grand Slam sebanyak empat kali sejak 2019.
Foto: Louis Vuitton & Getty Images
Baca lebih lanjut: Elite, Lupin dan ‘Sweet & Sour’: 10 Must Watch Di Netflix Jun Ini