Ramai orang tidak menyedari betapa pentingnya menjaga diri mereka selepas bersenam, yang sebenarnya merupakan kunci untuk mengelakkan kecederaan yang mendatang.
Meskipun anda selesai melakukan rutin senaman, terdapat beberapa perkara yang perlu anda lakukan selepas bersenam bagi memastikan pemulihan yang efektif dan menjaga kesihatan jangka panjang.
Jika anda mempunyai rutin senaman yang kerap, adalah sangat penting untuk mempunyai pelan pemulihan seimbang yang melengkapkan jadual aktif anda. Ini bukan sahaja mengelakkan kecederaan yang akan mendatang tetapi juga memastikan anda berada di landasan yang betul. Oleh itu, EH! kongsikan lima perkara yang anda perlu lakukan selepas bersenam untuk memastikan badan anda kekal sihat.
Semak Lima Perkara Yang Anda Perlu Lakukan Selepas Bersenam;
1. Regangan Selepas Bersenam
Luangkan lima hingga sepuluh minit untuk melakukan aktiviti ringan seperti berjalan atau regangan. Ia bukan hanya sekadar rutin penutup, tetapi memainkan peranan penting dalam proses pemulihan. Dengan melakukan ini, anda dapat membantu memulihkan aliran darah dan mengurangkan ketegangan pada otot-otot yang telah bekerja keras semasa anda melakukan senaman.
2. Minum Air
Pastikan anda minum banyak air untuk menggantikan cecair yang hilang daripada berpeluh semasa bersenam. Kekal terhidrat adalah sangat penting, terutamanya untuk pemulihan otot. Selain itu, ia juga membantu mengawal suhu badan dan memastikan elektrolit anda seimbang. Jadi, dengan meminum air yang mencukupi, anda bukan sahaja membantu otot anda pulih dengan lebih cepat selepas bersenam, tetapi juga meningkatkan kesihatan badan anda untuk melakukan aktiviti harian.
3. Mandi Air Panas
Selepas anda selesai bersenam, mandi bukan sekadar untuk kekal bersih, tetapi juga untuk berasa segar selepas penat bersenam. Menggunakan air panas untuk mandi boleh membantu mengendurkan otot anda dan memberikan anda perasaan yang benar-benar menenangkan. Ia juga dapat membantu meningkatkan aliran darah, untuk otot anda pulih dengan baik. Selain itu, mandi selepas bersenam membantu menyingkirkan kotoran seperti minyak dan sel kulit mati. Ini bukan sahaja memastikan kulit anda bersih, tetapi juga menghalang pembentukan bakteria daripada peluh.
4. Makan Selepas Bersenam
Adalah penting untuk memerhatikan apa yang anda makan selepas bersenam. Disarankan untuk anda mengambil makanan yang mengandungi protein dan karbohidrat dalam masa tiga puluh hingga enam puluh minit selepas bersenam. Protein dapat membantu otot anda pulih dan membaiki sebarang kerosakan akibat senaman anda, manakala karbohidrat menambah tenaga yang telah anda habiskan. Apabila menggabungkan kedua-dua nutrien ini ia bukan sahaja dapat membantu otot anda pulih dengan lebih baik, tetapi juga memastikan badan anda mendapat jenis nutrisi yang sesuai.
5. Tidur Yang Cukup
Memastikan anda mendapat tidur yang berkualiti adalah sangat penting selepas bersenam. Cuba dapatkan sekitar tujuh hingga sembilan jam tidur setiap malam. Tidur yang nyenyak dan tidak terganggu membantu badan anda menjana semula dengan lebih baik. Semasa tidur nyenyak, badan anda mengeluarkan hormon pertumbuhan, yang penting untuk pemulihan dan pertumbuhan otot. Tidur yang tidak cukup bukan sahaja mengganggu pemulihan otot anda, ia juga boleh mengganggu mood, tumpuan dan tenaga anda.
Artikel Berkaitan: Ini 7 Tip Penjagaan Diri Dari Mudarat Diabetes