Menghidap masalah PCOS boleh menjadi cabaran, tetapi yang paling penting, anda perlu tahu bahawa ia adalah masalah kesihatan yang biasa, ramai wanita yang mengalami masalah yang sama. Dengan sokongan yang betul, perubahan gaya hidup yang positif, dan rawatan yang sesuai, anda boleh menjalani kehidupan yang sihat dan aktif.
Adakah anda sering mengalami masalah kitaran haid tidak teratur atau mungkin anda sedang bergelut dengan masalah jerawat yang tak kunjung hilang walaupun sudah mencuba pelbagai produk penjagaan kulit? Jika ya, ada kemungkinan anda mengalami Sindrom Ovari Polisistik, atau lebih dikenali sebagai PCOS. Jangan risau, anda bukan sendirian. PCOS adalah masalah kesihatan yang biasa dihadapi oleh wanita dalam usia reproduktif, dan ia boleh memberi kesan kepada banyak aspek kehidupan seorang wanita.
Oleh itu, EH! akan terangkan lebih lanjut mengenai PCOS, punca-puncanya, simptom-simptom yang perlu diperhatikan, serta cara-cara untuk mengatasinya agar kita lebih bersedia untuk menghadapinya.
Apa Itu PCOS?
PCOS adalah gangguan hormon yang boleh mempengaruhi pelbagai bahagian tubuh wanita, terutama sekali pada kitaran haid, kesuburan, dan penampilan fizikal. Wanita yang menghidap PCOS mungkin mengalami haid yang tidak teratur, peningkatan hormon androgen (hormon lelaki), serta ovari yang mengandungi banyak folikel kecil yang sepatutnya berkembang menjadi telur. Walaupun punca sebenar PCOS masih belum diketahui, banyak faktor seperti ketidakseimbangan hormon, masalah dengan insulin, dan juga faktor genetik dipercayai menyumbang kepada masalah ini.
Bagaimana Simptom PCOS Terjadi?
Salah satu sebab utama mengapa simptom-simptom PCOS berlaku adalah ketidakseimbangan hormon. Bagi wanita yang mengalami masalah ini, tahap hormon androgen mereka lebih tinggi daripada biasa. Hormon androgen ini adalah hormon lelaki, yang juga ada dalam tubuh wanita, tetapi dalam jumlah yang lebih sedikit. Apabila ia berlebihan, ia boleh menyebabkan masalah seperti jerawat yang teruk dan pertumbuhan rambut berlebihan, terutamanya di muka atau badan.
Selain itu, masalah dengan insulin juga boleh mempengaruhi wanita yang mempunyai PCOS. Insulin adalah hormon yang membantu tubuh menggunakan gula sebagai tenaga, tetapi dalam kes PCOS, tubuh mungkin kurang responsif terhadap insulin. Akibatnya, tahap insulin dalam darah meningkat, dan ini merangsang pengeluaran lebih banyak hormon androgen yang membawa kepada simptom-simptom yang kita bincangkan tadi. Dan faktor genetik juga merupakan penyebab yang paling kerap berlaku. Sekiranya terdapat ahli keluarga yang menghidap PCOS, kemungkinan besar anda juga berisiko untuk mengalaminya.
Apa Simptom PCOS Yang Anda Perlu Tahu?
Mungkin ada kalanya anda terfikir, “Adakah simptom-simptom ini normal?” Sebenarnya, simptom PCOS boleh berbeza-beza bagi setiap individu, tetapi beberapa tanda biasanya yang sering dilihat termasuklah haid yang tidak teratur dan masalah jerawat yang berterusan dan juga pertumbuhan rambut berlebihan di muka atau badan, serta peningkatan berat badan yang sukar dikawal.
Selain itu, kulit di kawasan leher, ketiak, dan bahagian tubuh yang lain mungkin kelihatan lebih gelap dan menebal. Ini dikenali sebagai acanthosis nigricans, yang sering berlaku akibat peningkatan tahap insulin dalam tubuh. Dan jangan lupa, bagi sesetengah wanita, PCOS juga boleh mengganggu kesuburan, menjadikan ia lebih sukar untuk hamil.
Cara Mengatasi PCOS
Biarpun PCOS tidak boleh disembuhkan sepenuhnya, ada banyak cara untuk mengurangkan simptom dan memastikan kehidupan yang sihat. Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah dengan mengubah gaya hidup. Jika anda mengalami peningkatan berat badan atau kesukaran menurunkannya, cuba untuk mengamalkan diet yang lebih sihat dan seimbang. Menjaga pemakanan dengan memilih makanan yang rendah glisemik dan kaya dengan serat boleh membantu mengawal paras insulin. Jangan lupa untuk bersenam secara konsisten. Walaupun mungkin sukar untuk memulakan, aktiviti fizikal seperti berjalan kaki atau senam aerobik bukan sahaja membantu menurunkan berat badan, tetapi juga meningkatkan sensitiviti tubuh terhadap insulin.
Selain itu, bagi yang menghadapi masalah kitaran haid yang tidak teratur, penggunaan pil perancang keluarga atau ubat hormon lain boleh membantu mengawal kitaran dan mengurangkan simptom seperti jerawat dan pertumbuhan rambut berlebihan. Rawatan seperti ini bertujuan untuk menyeimbangkan semula hormon yang terganggu. Bagi mereka yang merancang untuk hamil, ada rawatan kesuburan yang boleh membantu merangsang ovulasi, seperti penggunaan ubat-ubatan yang merangsang pengeluaran telur. Tetapi, pastikan anda berbincang dengan doktor atau pakar kesihatan untuk mendapatkan nasihat yang terbaik.
Jangan Panik, Anda Tidak Sendirian. Jika anda rasa simptom-simptom ini memberi kesan kepada kehidupan anda, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang tepat. Anda tidak perlu menghadapi semuanya seorang diri. Ada banyak sokongan dan penyelesaian yang tersedia, jadi ambil langkah berjaga-jaga untuk menjaga kesihatan anda hari ini.
Artikel Berkaitan: Miss V Makin Gelap? Ini Cara Cerahkan Miss V