Di Kuala Lumpur, semuanya perlukan duit untuk terus bertahan. Mampukah anda menghadapi tekanan ini?
Kos hidup di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan kawasan Lembah Klang boleh dikatakan agak tinggi berbanding tinggal di luar bandar. Dari perbelanjaan makan sehinggalah tambang pengangkutan ke tempat kerja, semuanya mahal dan kadang tidak masuk akal. Mungkin perancangan ini boleh diikuti oleh mereka yang bergaji sederhana agar dapat terus kekal selesa tanpa stres melampau.
1. ASINGKAN PERBELANJAAN ‘KEHENDAK’ DAN ‘KEPERLUAN’
Buat senarai perbelanjaan harian anda dan bezakan antara kehendak dan keperluan. Antara ‘keperluan’ dalam hidup adalah perbelanjaan makan, bil air dan elektrik, sewa rumah dan sebagainya. Manakala ‘kehendak’ seperti langganan bulanan rancangan televisyen, pemasangan wi-fi di rumah, beg tangan dan sebagainya. Dahulukan untuk membayar dalam senarai perbelanjaan keperluan. Kemudian, pastikan anda ada simpanan daripada keseluruhan perbelanjaan itu dan jika ada lebih, barulah dibelanjakan untuk senarai dalam ‘kehendak’.
2. SEDAR DIRI
Buka mata dan hati serta tanya pada diri, mampukah andauntuk memiliki sesuatu yang terlalu jauh nilainya berbanding gaji yang diperolehi. Sebagai contoh, melihatkan rakan-rakan lain yang tinggal di kondo mewah di Damansara, anda juga ingin menyewa di tempat sama. Sememangnya rumah sewa atau dibeli untuk diri adalah keperluan berteduh dan berlindung, namun hati-hati agar ia tidak bertukar menjadi kehendak. Mungkin teman anda tidak mempunyai tanggungan lain walhal anda mempunyai adik-adik yang masih bersekolah.
3. BANDING HARGA
Diakui semua bahan mentah dan keperluan dapur semakin meningkat harga. Namun, dalam kemegahan kota raya yang menawarkan harga barang yang kadang ‘cekik darah’, ada pasar raya besar yang menawarkan harga jimat. Ambil masa dan kenal pasti jenama murah yang mempunyai kualiti setanding jenama import. Tidak semestinya yang mahal itu bagus. Dinasihatkan untuk membandingkan harga barang segar di pasar raya besar dan juga pasar tani. Walaupun perbezaan mungkin hanya lima puluh sen, namun kalau kerap dibeli dan digandakan perbezaan itu, mungkin jumlahnya anda boleh beli barangan basah yang lain.
4. LEPAK BOLEH, TAPI…
Tidak sah tinggal di Kuala Lumpur mahupun kawasan Lembah Klang tanpa menghabiskan masa bersama rakan-rakan bersantai di kafe mahupun kelab terkemuka sesekali. Namun, elakkannya daripada menjadi tabiat atau rutin setiap hari kerana aktiviti ini sememangnya boleh membuat anda merana diri kelak. Sibuk berbelanja RM10 untuk secawan kopi setiap hari, dan di hujung bulan gigit jari makan mi segera.
5. JANGAN LUPA MENYIMPAN!
Sebaik menggenggam gaji, duit habis dibelanjakan untuk membayar bil, hutang persendirian serta perbelanjaan lain tanpa peduli mengenai simpanan. Jangan begitu. Simpanan adalah perkara penting yang dapat menjamin keselesaan anda kelak. Bayangkan perbelanjaan untuk cukai kereta, kecemasan ketika jatuh sakit dan tayar pancit yang kesemuanya walau tidak kerap berlaku, namun memerlukan jumlah yang banyak. Jangan simpan wang di dalam akaun bank yang sama dengan duit gaji kerana dibimbangi anda secara tidak sengaja menggunakannya. Simpan kad bank untuk wang simpanan ini di rumah ketika berbelanja dan seboleh mungkin cuba untuk tidak mengeluarkannya.