Anda bayar setiap bulan dan hasilnya kabur? Gim bukan sepenuhnya tentang mendapat tubuh yang sihat jika tidak mengikut aturannya.
Situasinya begini, seorang teman mengikat kontrak bersama sebuah gim komersial atas alasan mahu tubuh yang lebih langsing dan menawan di samping untuk kekal sihat. Dia membayar kira-kira hampir RM200 sebulan dan selepas hampir setahun kontrak diikat dia mengeluh kerana hasilnya tiada. Dan saya tanyakan kenapa, dengan mudah dia menyalahkan kekangan masa dan semakin kurang motivasi. Jadi saya katakan padanya – You pay for nothing? Dia diam dan ya saya yakin itulah jawapannya.
Situasi ini tidak hanya terjadi pada teman saya. Melalui pemerhatian ramai sebenarnya membayar servis gim yang beratus-ratus ringgit tanpa menggunakan sepenuhnya pada jalan yang betul. Ada saja alasan yang dicipta saat perlu melangkah ke pusat senaman tersebut dan motivasi hanya akan datang bila melihat ada individu yang memiliki tubuh yang mereka impikan.
Memetik kata-kata Alice Wignal dalam artikelnya yang bertajuk Is Joining the Gym A Pointless Exercise? – “Gym don’t care if you don’t go, they don’t even really care if you leave – they just care that you and lots of other people like you, join up.”
Di Mana Silapnya? Satu kajian yang dilakukan di United Kingdom menyatakan sehingga awal 2012 hampir 5.2 juta rakyat negara tersebut memiliki akaun pusat gim komersial tetapi tidak sampai 50 peratus yang mencapai matlamat seperti apa yang mereka mahukan. Apa yang lebih menyedihkan mereka tidak langsung hiraukan wang dibazirkan setiap bulan dengan membayar tanpa pergi untuk melakukan aktiviti senaman. Zoe Williams jurnalis The Guardian, menulis dalam artikelnya The Gym Is A Genius Con We Should Be Ashamed To Fall For, idea memasuki gim hari ini sudah menjadi satu budaya urban yang sebetulnya hanyalah sebuah perniagaan yang menguntungkan sebelah pihak jika keahlian yang didaftar tidak digunakan secara betul.
Tambah Zoe, ramai yang terpedaya dengan tawaran serta promosi hebat yang dilakukan pusat gim komersial. Tuala percuma, air minuman dengan isian semula secara percuma dan fancy shower room mengaburi mata mereka. Dan bagi sesetengah wanita gim menjadi tempat mereka beriadah, bertemu rakan-rakan atau sekadar meluang masa melakukan yoga yang tidak tentu lagi betul caranya. Selepas itu masa dihabiskan bual kosong juga potluck.
Apa Yang Perlu Anda Lakukan?
1. Disiplin. Perlu lebih konsisten dalam mengikut jadual senaman juga pemakanan.
2. Lebih baik pergi bersendirian kerana anda akan lebih fokus melakukan apa yang anda perlu lakukan.
3. Ingat betapa ruginya duit yang anda belanjakan setiap bulan membayar gim jika kemudahan yang disediakan tidak digunakan ke jalan yang betul atau sekadar pergi untuk suka-suka.
4. Elak lakukan senaman berulang. Penting untuk anda tukar rutin senaman agar tidak terikat dengan rutin yang sama.
5. Ubah cara pemakanan. Kawal kuantiti dan makan pada masanya. Apa yang penting adalah sarapan pagi dan makan malam yang lebih awal. Elak makanan berat pada lewat malam cukup sekadar hidangan Milo panas bersama biskut.