Kalau dah jodoh takkan ke mana. Begitu jugalah kisah cinta antara kerabat di-raja dan orang biasa. Sejak dulu lagi memang ramai kerabat di-raja bertemu jodoh dengan selebriti, hal ini termasuklah kerabat di-raja di luar negara. Misalnya Putera Rainier III dari Monaco bertemu jodoh dengan Grace Kelly. Dan EH! bariskan lima selebriti Malaysia yang bertemu jodoh dengan kerabat di-raja.
1. Fiza Thomas
Nur Hafizah Longkip @ Thomas atau dikenali sebagai Fiza Thomas merupakan seorang penyanyi dan pelakon wanita Malaysia. Kerjayanya bermula sebagai salah seorang peserta Akademi Fantasia musim ke-13 pada 2016 dan Fiza memenangi tempat kelima. Selepas empat tahun menyulam cinta, Fiza Thomas selamat bergelar isteri kepada kerabat di-raja Kelantan, Tengku Mohamad Faris Tengku Mohamad Ismail, 26, pada 17 Julai 2022.
Menerima mas kahwin berupa seutas rantai emas manakala wang hantaran dirahsiakan, Fiza berkata dia sudah mengenali suaminya sejak tujuh tahun lalu namun hanya mulai rapat ketika sama-sama terlibat menjayakan teater muzikal Ola Bola pada 2018.
2. Linda Onn
Merupakan seorang penyampai radio, pengacara televisyen, pelakon dan usahawan Malaysia terkenal, Linda Onn selamat menjadi isteri yang sah kepada, Ungku Azhar Ungku Muhammad Maznan iaitu kerabat diraja Johor. Bernikah selepas waktu Asar, 27 Disember di kediaman mewah Linda di Setiahills, Bukit Indah, Ampang, Kuala Lumpur, majlis pernikahan tersebut diadakan secara tertutup tanpa kehadiran pihak media melainkan media yang rapat dengannya serta sanak-saudara.
3. Che Puan Juliana Evans
Pelakon dan pengacara popular, Che Puan Juliana Evans, selamat melangsungkan perkahwinan dengan lelaki pilihan hatinya, Y.A.M Tengku Shariffuddin Shah bin Y.A.M Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj, kerabat diraja Selangor-Johor. Dinikahkan oleh Imam Masjid Istana Alam Shah Klang, Mohd Rasid Mahful dalam sebuah majlis tertutup.
Che Puan Jualiana Evans kini memiliki 2 cahaya mata, Yang Mulia Tengku Kamiliah Zanariah Ruby Ehsan Putri binti Tengku Shariffuddin Shah, 4 dan Yang Mulia Tengku Saidatul’Ihsan Putri binti Tengku Shariffuddin Shah.
4. To’ Puan Syamim Farid
Che Puan Syamim Farid selamat berkahwin dengan Yang Mulia (YM) Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Dato’ Ardy Esfandiari Al-Haj yang juga merupakan kerabat diraja Selangor. Selepas majlis perkahwinan beliau bersama suaminya pada 19 Mac 2016, beliau dikurniakan gelaran Yang Berbahagia Che Puan Syamim binti Mohd Farid.
Terbaru, pada 29 Ogos 2023, suaminya Tengku Ezrique Ezzudean dikurniakan gelaran Yang Dimuliakan Tengku Orang Kaya Menteri Diraja oleh DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Orang Besar Istana Diraja Selangor, sekaligus melayakkan beliau menyandang gelaran Yang Berbahagia To’ Puan Syamim binti Mohd Farid.
5. Che Puan Sarimah
Merupakan seorang pengacara, penyampai radio, penyanyi serta pelakon berdarah kacukan Melayu-Irish, Che Puan Sarimah Ibrahim telah dilahirkan di Dublin, Ireland. Beliau pernah mendapat pendidikan awal di Emirates International School, Dubai dan juga Wesley College, beliau menerima kelayakan O-Levels. Pencapaian akademik tertinggi beliau adalah memperoleh Advanced Diploma in Psychology dari College of Applied Arts di Singapura dan Bachelor’s Degree of Psychology dari HELP University di Malaysia.
Memiliki personaliti dan pendidikan yang tinggi, Che Puan Sarimah telah berkahwin dengan Yang Mulia Tunku Nadzimuddin bin Tunku Mudzaffar yang juga merupakan cucunda kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10. Che Puan Sarimah Ibrahim dan Tunku Jamie telah dikurniakan seorang anak perempuan bernama Yang Mulia Tunku Sofia Najihah. Cahaya mata pertama mereka telah dilahirkan pada 19 Julai 2019.