Lebih empat bulan mengikat tali pertunangan, Noh Salleh kini sah menjadi milik wanita pilihan hatinya, Fatin Athira Mustapha.
Pasangan itu selamat disatukan sebagai suami isteri dalam satu majlis tertutup. Noh Salleh berkongsi khabar gembira itu bersama peminat menerusi satu hantaran di Instagram.
Dalam perkongsian itu, dia memuat naik sekeping fotonya bersama isteri di atas pelamin. Ia merakamkan momen bahagia mereka memandang ke dalam mata satu sama lain sambil tersenyum gembira.
Dengan kapsyen ringkas, penyanyi itu sekadar menyatakan nama raja dan ratu sehari berserta tarikh penyatuan mereka. “Athira dan Noh, 23 September 2023.”
Noh Salleh tampil segak dalam baju Melayu dan sampin rona putih gading. Fatin Athira pula begitu elegan dalam baju kurung moden berperincian manik bersama tudung, vel dan sepatu rona sedondon. Persalinan mereka direka oleh Fidae.
Noh Salleh Dirai Dalam Majlis Resepsi Meriah
Memilih tema tradisional, pasangan itu diraikan dalam satu majlis resepsi di sebuah dewan acara di Puchong, Selangor yang dihadiri oleh ahli keluarga dan kenalan rapat.
Antara rakan artis yang dilihat hadir adalah Nabila Huda dan Naim Daniel yang sempat menghadiahkan lagu buat pasangan mempelai.
Noh Salleh dan isteri kelihatan berseri dalam persalinan tradisi rona merah pulasan, lengkap dengan aksesori termasuk keris. Majlis mereka turut dimeriahkan dengan tarian poco-poco terkenal dan persembahan bunga api.
Ini merupakan perkahwinan pertama buat Fatin Athira dan kedua buat Noh Salleh. Vokalis kumpulan Hujan itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Mizz Nina namun bercerai tahun lalu selepas 11 tahun hidup bersama.
Mizz Nina juga telah pun bertemu jodoh dengan Essam Muhammad, artis serba boleh berketurunan Maghribi dari Seattle, Amerika Syarikat.
Mereka disatukan sebagai suami isteri dalam satu majlis tertutup pada awal tahun 2023 di luar negara dan baru-baru ini diraikan dalam satu majlis resepsi intim mewah di Ampang, Kuala Lumpur.
Baca: “2+1=3”, Mizz Nina & Noh Salleh Sambut Kehadiran Orang Baru