Selepas beberapa bulan ditangguhkan, lagu Blackpink berjudul The Girls berserta video muzik akhirnya menemui peminat.
Buah tangan terbaru ini merupakan lagu tema untuk permainan video kumpulan itu, Blackpink The Game. The Girls kini tersedia untuk ditonton para pemain di aplikasi mudah alih permainan tersebut.
Video muzik lagu itu menampilkan avatar animasi menyerupai Rose, Jisoo, Lisa, dan Jennie yang mengulangi frasa, “Don’t mess with the girls.” Blackpink turut mempersembahkan tarian trademark mereka dalam versi kartun.
Buat masa ini lagu dan video muzik itu hanya boleh diakses dalam permainan The Game. Bagaimanapun poster yang dikongsi oleh akaun Twitter rasmi Blackpink mendedahkan lagu digital akan menemui peminat pada hari Jumaat, 25 Ogos.
Pelancaran The Girls
Keempat-empat bintang itu meraikan pelancaran The Girls yang telah lama ditunggu-tunggu dengan ‘parti tontonan’ di saluran YouTube mereka. Sebelum bermain beberapa permainan sebagai satu kumpulan, mereka menonton video muzik itu buat kali pertama bersama-sama dan mengagumi kecomelan avatar masing-masing.
“Tariannya sangat comel,” kata Lisa, manakala Rose menambah, “Bolehkah kita menari seperti itu di dunia sebenar?”
Blackpink The Game dilancarkan pada 18 Mei lalu dan lagu tema The Girls sepatutnya menemui peminat tidak lama kemudian. Bagaimanapun pada bulan Julai, pasukan pengurusan aplikasi mengumumkan kerja-kerja visual animasi masih belum selesai. Mereka turut memohon maaf atas kelewatan itu.
“Dedikasi kami untuk mempersembahkan kandungan berkualiti tinggi yang sempurna mengambil masa lebih lama daripada yang dijangka. Oleh itu kami terpaksa membatalkan rancangan untuk melancarkan permainan dan video muzik secara serentak,” menurut kenyataan mereka.
Baca: Lisa Blackpink Lakar Rekod Baru, Kini Ada 7 Guinness World Record