Aktor tinggi lampai ini makin meningkat popularitinya setelah berjaya menawan peminat drama Korea sebagai teraju utama dalam drama Weightlifting Fairy. Nam Joo Hyuk hadir di Kuala Lumpur semalam untuk mengadakan sesi Private Stage: Close-up bersama peminatnya yang tidak melepaskan peluang bertemu dengannya.
Aktor yang murah dengan senyuman ini lahir dari pentas peragaan dan sebelum bergelar pelakon dia aktif sebagai model runway dan sudah biasa berdepan dengan gemerlapan kamera. Memberanikan diri untuk melangkah ke dunia seni menjadi taruhan terbaiknya sekali gus menyerlahkan bakat lakonannya yang mula digilap melalui watak-watak kecil sebelum bergelar pelakon utama.
Petang itu, peminat sudah mula membanjiri ruang acara Starxpo Centre, KWC Fashion Mall menantikan kemunculan pelakon muda ini. Nam Joo Hyuk yang mencuri perhatian sebagai pelakon sampingan dalam drama popular seperti Cheese In A Trap, Scarlet Heart dan Who Are You: School 2015. Di awal pembabitannya, dia sering menerima kritikan mengenai lakonannya dan terbaru apabila beraksi sebagai pelakon utama Bride of Habaek sekali lagi dia mendapat kritikan hebat yang menjadikannya lebih bersemangat untuk memperbaiki mutu lakonan dalam projek akan datang.
Petang semalam menyaksikan Nam Joo Hyuk yang bernaung di bawah agensi YG Entertainment punyai pengaruh tersendiri dan populariti bintang muda ini bakal menyinar cerah sekiranya dia bijak memilih projek seterusnya. Tahun ini juga menyaksikan namanya meniti di bibir dunia seni Korea kerana mengakui bercinta dengan pasangan lakonannya dalam Weightlifting Fairy, Lee Sung Kyung. Namun cinta mereka tidak bertahan lama dan berpisah pada Ogos 2017.
Segak dalam sut hitam dipadan dengan kemeja merah, Nam Joo Hyuk memperlihatkan beberapa bakat terpendamnya ketika bertemu peminat Malaysia. Dia telah mendendangkan tiga buah lagu dan cukup sporting beraksi bersama empat peminat bertuah melakonkan babak popular dalam drama lakonannya. Masing-masing dapat pulang dengan selfie dan bunga dan peminat paling bertuah dihadiahkan dengan diari yang dibaca oleh Nam Joo Hyuk dalam drama Bride of Habaek.
Antara sesi yang paling menghiburkan adalah apabila Joo Hyuk harus memenangi bahan-bahan untuk membuat kimbap. Peminat cukup terhibur dengan keletahnya yang mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan bahan bagi menghasilkan kimbap yang enak. Malah apron yang dipakainya telah ditandatangani dan dihadiahkan kepada peminat bertuah.
Ternyata, aktor yang lahir pada 22 Februari 1994 ini amat menghargai peminat yang hadir pada petang itu dengan menyediakan banyak hadir termasuk mug istimewa serta patung yang pernah muncul dalam drama Bride of Habaek.
Paling mengejutkan adalah apabila sebelum acara berakhir, Nam Joo Hyuk sanggup turun dari pentas untuk menghadiahkan bunga buat peminat yang menantinya sepanjang petang itu.
Selak halaman sebelah untuk saksikan aksi Nam Joo Hyuk di Kuala Lumpur semalam. >>
Foto: Galaxy Group